HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 September 2020

Wee bidas Anwar, KLCI jatuh 10.5 mata selepas pengumuman

 

PETALING JAYA: MCA hari ini membidas Anwar Ibrahim atas pengumumannya hari ini, mengatakan dakwaan presiden PKR itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu memberi kesan pada ekonomi.

Presiden Wee Ka Siong melihat pengumuman Anwar itu seolah-olah mensabotaj negara, ketika kerajaan sedang sibuk meyakinkan pelabur untuk memulihkan ekonomi.

“Sejurus beliau membuat pengumuman tersebut, KLCI (Indeks Komposit Kuala Lumpur) jatuh 10.5 mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah Anwar sebagai seorang pemimpin politik “senior” sepatutnya lebih bertanggungjawab.“Kestabilan negara jauh lebih penting berbanding mengejar cita-cita untuk menjadi perdana menteri,” katanya.

Wee menarik perhatian kepada kelakukan Anwar pada sidang medianya, mengatakan ketua pembangkang itu mengelak daripada menyentuh tentang bilangan ahli Parlimen yang bersama dengannya.

“Dulu, dia juga pernah mendakwa kononnya mendapat sokongan 30 ahli Parlimen dan akan ‘menuju ke Putrajaya pada 16 Sept 2008’. Namun tiada apa yang berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: