HALAMAN SANTAI

Rabu, 23 September 2020

Pengumuman Anwar boleh alih pengundi kepada Warisan Plus, kata penganalisis

Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin Yassin tiada majoriti cukup untuk memimpin kerajaan.

KOTA KINABALU: Seorang penganalisis politik berkata pengumuman oleh Presiden PKR, Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan cukup untuk membentuk kerajaan persekutuan boleh mempengaruhi pilihan raya Sabah bagi pihak Warisan Plus.

Romzi Ationg dari Universiti Malaysia Sabah berkata Gabungan Rakyat Sabah, yang disokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, nampaknya sedang mendahului persaingan di Sabah.

Tetapi dengan kemunculan dakwaan Anwar itu, Warisan Plus boleh memintas GRS, katanya.

“Tentu sekali kerana pengundi Sabah tidak akan lagi berminat dengan GRS. Ketika ini pun, Warisan Plus sedang meraih sokongan.

“GRS nampak seperti dapat sokongan pun kerana Muhyiddin.”

Namun, beliau berkata kedudukan Warisan Plus dalam bahaya sekiranya sokongan kepada Anwar itu daripada ahli Parlimen Umno dan PAS.

Anwar pada sidang media hari ini berkata antara ahli Parlimen yang menyokong beliau adalah wakil rakyat Melayu dan Islam. Beliau bagaimanapun tidak menamakan siapa dan parti mana yang memberikan sokongan “kukuh” dan “meyakinkan” itu, hampir 2/3 katanya.

Sementara itu, Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata masa Anwar membuat pengumuman itu mengejutkan, terutama hari mengundi hanya beberapa hari sahaja lagi.

“Tapi masih terlalu awal untuk kata akan ada peralihan sokongan kerana Anwar hanya membuat pengumuman sedangkan rakyat Sabah mahu lihat hasilnya.

“Kalau ia berlaku sebelum hari mengundi, maka ia akan beri kesan pada corak undi,” katanya.

PKR bertanding di 7 kerusi pada pilihan raya Sabah.

Tiada ulasan: