HALAMAN SANTAI

Khamis, 24 September 2020

Bolehkah Anwar umum sebuah kerajaan telah jatuh?

Norlaile Abd Rahman
MGF05032017_SidangMejaBulatPERKASA08-1-681x452
Dr Shamrahayu Ab. Aziz

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak untuk membuat pengumuman mengatakan sebuah kerajaan telah jatuh semata-mata kerana beliau yakin telah mendapat cukup sokongan daripada ahli-ahli Parlimen.

Pakar Perlembagaan, Dr. Shamrahayu Ab. Aziz mengingatkan orang ramai di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan jelas membuktikan terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong bagi menghadapi situasi seperti ini.

“Dalam suasana politik selepas sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim, beberapa isu perlembagaan mungkin menjadi persoalan.

“Antaranya, bolehkah seorang Ahli Parlimen membuat kenyataan media dengan menyatakan satu kerajaan telah jatuh?

“Adalah perlu diingat bahawa terdapat peranan Yang di-Pertuan Agong dalam keadaan ini.

“Sila rujuk Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.

Bagaimanapun setakat ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih belum menyatakan hasratnya untuk meletakkan jawatan malah beberapa jam selepas sidang media Anwar, beliau menyampaikan perutusan khas berhubung pakej bantuan tambahan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Malah Anwar sendiri tidak menyatakan bilangan ahli Parlimen yang menyokong beliau.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: