HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Disember 2020

Adakah ‘Langkah Perak’ Umno semalam dibalas ‘Gerak Johor’ PPBM esok?

Jika norma biasa, persoalan itu tidak timbul, namun kancah kerjasama Perikatan 
Nasional – khususnya hubungan UMNO-PPBM bertukar secara nyata semalam.

PETALING JAYA: Adakah PPBM akan membalas dendam terhadap UMNO apabila undian di jalankan terhadap Belanjawan Johor 2021 esok di Dewan Undangan Negeri?

Jika norma biasa, persoalan itu tidak timbul, namun kancah kerjasama Perikatan Nasional – khususnya hubungan UMNO-PPBM bertukar secara nyata semalam apabila Timbalan Presiden PPBM, Ahmad Faizal Azumu, dijatuhkan sebagai MB Perak.

Dengan hanya dua kerusi majoriti dalam DUN Johor, Menteri Besar Hasni Mohamad mengharapkan sokongan 12 ADUN PPBM, termasuk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa. Muhyiddin adalah ADUN Gambir.

Justeru timbul persoalan sama ada ‘Langkah Perak’ oleh UMNO semalam akan dibalas dengan ‘Gerak Johor’ oleh PPBM esok.

Jika belanjawan itu ditolak menerusi undian oleh pembangkang dan PPBM, maka Hasni turut hilang kepercayaan majoriti DUN negeri dan terpaksa berundur memberi laluan untuk MB baru di lantik.

Kelmarin, beliau dipetik menzahirkan keyakinan Belanjawan 2021 akan didokong penuh oleh semua ADUN negeri itu, tidak kira kerajaan mahupun pembangkang kerana ia membela golongan miskin dan mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Namun, kenyataan itu dibuat sebelum ADUN UMNO di Perak menolak Faizal. Justeru percaturan politik, baik di Johor mahupun di pusat, sudah berubah.

Setiausaha Agung PPBM, Hamzah Zainuddin, semalam menyatakan rasa kesal dengan apa yang berlaku di Perak dan memberi amaran bahawa parti itu “memantau situasi semasa…dalam membuat keputusan selanjutnya.”

Apakah “keputusan selanjutnya” yang dinyatakan Hamzah berkait dengan kedudukan UMNO yang menduduki kerusi MB Johor dan keperluan beliau memperolehi sokongan ADUN PPBM untuk meluluskan belanjawan negeri?

Yang menarik, Muhyiddin sendiri dijangka menyertai undian belanjawan itu dan sudah tentu ADUN PPBM akan mengikut langkah atau isyarat beliau dalam menyokong atau menolak belanjawan itu.

Di Perak, 24 daripada 25 ADUN Umno Perak menolak Faizal dalam undian percaya terhadap kepimpinannya yang di bentangkan oleh parti itu sendiri di DUN Perak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Annuar Musa berkata penolakkan Faizal oleh hampir semua ADUN Umno tidak dibincangkan terlebih dahulu di peringkat biro politik mahukan MKT parti itu.

Kenyataan itu memberi bayangan seolah-olah ADUN Umno Perak itu bertindak bersendiri dalam menjatuhkan Faizal dan mahukan jawatan MB Perak.

PPBM terpaksa beralah di Perak kerana jumlah ADUN Umno jauh lebih tinggi. Tetapi situasi di Johor esok memberi mereka pilihan sama ada untuk “membalas dendam” atau mempamerkan kesanggupan ‘bersabar’ demi keutuhan kerajaan Perikatan Nasional di peringkat pusat.

Tiada ulasan: