IPOH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Perak secara konsensus mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya menerusi muatnaik status Facebooknya, mengesahkan perkara berkenaan, sekali gus menghentikan spekulasi yang memetik beliau sebagai calon Menteri Besar baharu.
"Kami semua ADUN UMNO/BN secara konsensus mencalonkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebagai Menteri Besar Perak.
"Saya mohon untuk kita semua tidak membuat apa-apa lagi spekulasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk mempertimbangkan siapa yang mempunyai majoriti mudah untuk dipilih menjadi Menteri Besar Perak, Insya-Allah," katanya.
Memetik status Facebook itu, Shahrul Zaman turut meluahkan kata-kata berhubung kemelut yang berlaku di negeri Perak ketika ini.
"Ibu bapa saya sentiasa mengingatkan saya untuk berpegang kepada konsep reda, usaha dan tawakal kepada Allah. Kita wajib percaya kepada qada dan qadar Allah..segalanya telah tertulis. Jawatan adalah pertanggungjawaban ia bukan untuk perebutan," katanya melalui kenyataan itu.
Terdahulu BH melaporkan, tiga nama disebut-sebut untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak baharu.
Memetik laporan itu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan, Saarani dan Shahrul Zaman antara yang layak mengisi kekosongan jawatan tertinggi itu berdasarkan pengalaman mereka, menurut sumber.
BH turut difahamkan, antara nama yang disebut sekiranya kerajaan campuran terbentuk adalah Ketua Pembangkang yang juga Naib Pengerusi DAP Perak dan ADUN Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari, namun tiada pengesahan mengenai perkara itu.
Sementara itu, sumber UMNO ketika dihubungi mengesahkan, seramai 26 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak menandatangani akuan berkanun (SD) menyokong Pengerusi UMNO Perak, Saarani sebagai calon Menteri Besar yang baharu.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibarisi 25 wakil UMNO, DAP (16), BERSATU (5), AMANAH (5), PKR (3), PAS (3) dan satu masing-masing dari Gerakan serta Bebas.
Adalah dipercayai bahawa UMNO Perak berjaya meyakinkan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) untuk menandatangani SD itu.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan bahawa satu gabungan baharu akan diwujudkan bagi membentuk kerajaan negeri Perak.
"Kita sedang melihat kepada semua kemungkinan. Kita mahu mengekalkan kerajaan terdahulu (Perikatan Nasional) tetapi jika ia tidak boleh dilakukan, mungkin akan wujud gabungan baharu," katanya.
Petang kelmarin, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden BERSATU mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Perak, sehari selepas gagal memperoleh undi percaya di sidang DUN.
Beliau hanya memperoleh 10 undi daripada 59 penyokong, dengan 48 menentang usul dan satu berkecuali.
Semalam, Sultan Nazrin menerima peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar, berkuat kuasa hari ini
Tiada ulasan:
Catat Ulasan