Bersatu Perak setakat ini belum membuat sebarang keputusan sama ada akan menyokong pembentukan kerajaan negeri Perak oleh Umno atau sebaliknya.
Kata sumber yang rapat dengan pemimpinan Bersatu negeri, perkara itu akan diputuskan oleh pimpinan pusat.
"Setakat ini memang belum ada keputusan, kami pun masih menunggu perkembangan dari pusat.
"Saya rasa pengumuman mengenai akan dibuat oleh setiausah agung Bersatu (Hamzah Zainuddin)," kata sumber yang enggan disiarkan namanya kepada Malaysiakini, hari ini.
Perkembangan itu dilihat tidak selari dengan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebentar tadi bahawa “pembentukan kerajaan ini antara Umno, Bersatu dan PAS”.
Malam tadi, Bersatu menegaskan akan memperkukuhkan kerjasama dengan PAS melalui Perikatan Nasional susulan penyingkiran Ahmad Faizal Azumu (bawah) sebagai menteri besar Perak.
Hamzah berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dipengerusikan oleh Presidennya, Muhyiddin Yassin, semalam.
Sumber itu berkata, berdasarkan kenyataan Hamzah itu memberi gambaran Bersatu tidak akan terlibat dengan usaha Umno untuk menubuhkan kerajaan baru itu.
"Tetapi tak pastilah sejauh mana, hari ini pun Ahmad Faizal berada di Dewan Rakyat.
"Saya rasa kepimpinan pusat akan mesyuarat lagi mengenai perkara itu, hari ini," katanya.
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menitahkan Adun Bersatu dan PAS mengadap baginda hari ini bagi menyatakan sokongan mereka terhadap calon menteri besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan