PETALING JAYA: Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, mencipta rekod sebagai pemimpin pertama yang tersingkir menerusi usul percaya apabila hilang sokongan majoriti wakil rakyat, termasuk Adun UMNO dalam kerajaan pimpinannya.
Mungkin lebih menakjubkan ialah Faizal sendiri berkata beliau sudah menjangka akan tewas dalam undian di Dewan Undangan Negeri hari ini, walaupun kerajaan negeri pimpinan Perikatan Nasional mempunyai majoriti selesa.
“(Tetapi) saya berlapang dada dan terima. Sebagai ketua yang juga pengerusi PPBM Perak saya akan cari jalan memberi peluang menteri besar baharu laksanakan tanggungjawab beliau,” katanya.
Penyingkiran beliau adalah susulan sebilangan besar ADUN Umno dan 24 ADUN Pakatan Harapan tidak menyokong undi percaya terhadap beliau. Faizal hanya memperolehi sokongan 10 ADUN.
Namun ini bukan pertama kali seorang pemimpin negeri terpaksa meletak jawatan akibat hilang sokongan majoriti wakil rakyat. Rekod itu dipegang oleh Kelantan pada 1977 apabila menteri besar ketika itu, Mohamed Nasir, disingkir menerusi usul tidak percaya.
Ketika itu, Barisan Nasional dan PAS merupakan sekutu, namun hubungan mereka tidak begitu baik. Mohamed merupakan pemimpin PAS namun dituduh ingkar arahan parti.
Walaupun usul PAS menentukan beliau hilang sokongan, Mohamed enggan meletak jawatan. Rusuhan meletus dan darurat diisytiharkan di negeri Cik Siti Wan Kembang.
Di Perak, perubahan menteri besar hari ini bukan sesuatu di luar jangkaan, melihat kepada ketegangan antara Faizal dan UMNO, parti yang mempunyai bilangan ADUN paling banyak di DUN.
Peristiwa hari ini menyusuli pelbagai drama politik yang melanda Perak Darul Ridzuan sejak 2009, yang bermula dengan pengkhianatan dan membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat.
Speaker DUN ketika itu, V Sivakumar, memanggil suatu sidang tergempar tetapi para wakil rakyat PR dihalang masuk.
Mereka kemudiannya bersidang bawah sebatang pokok yang terletak kira-kira 100m berhampiran bangunan sekretariat negeri, yang diisytiharkan tidak sah oleh Mahkamah Tinggi Ipoh.
Menteri besar ketika itu, Mohammad Nizar Jamaluddin, juga memohon pembubaran DUN bagi membuka laluan kepada pilihan raya, namun ditolak Sultan Azlan Shah yang melantik menteri besar baharu – Zambry Abdul Kadir daripada UMNO – dalam kalangan wakil rakyat sedia ada.
Kira-kira 5,000 orang menunjuk perasaan di luar Istana Perak ketika Zambry mengangkat sumpah jawatannya.
Pembangkang membawa kesnya terhadap kerajaan negeri baharu dan sultan di mahkamah, namun keputusan Mahkamah Persekutuan tidak memihak kepadanya.
Pada pilihan raya umum ke-13, Zambry mengepalai BN kepada kemenangan dan membentuk kerajaan untuk sepenggal lagi.
Pasca pilihan raya umum ke-14 menyaksikan pembentukan kerajaan baharu di Perak menemui jalan buntu.
Pakatan Harapan, yang ketika itu terdiri daripada PKR, PPBM, DAP, dan Amanah, mempunyai 29 kerusi, manakala BN 27, dan PAS, yang tidak berpihak kepada mana-mana pihak, tiga.
Kebuntuan tiga hari itu terlerai apabila dua ADUN BN menyatakan sokongan kepada PH, dan Faizal, wakil rakyat tunggal PPBM, dilantik menteri besar.
Tidak sampai dua tahun kemudian, pentadbiran negeri tumbang selepas UMNO, PPBM, dan PAS bergabung untuk merampas Putrajaya daripada PH.
Pentadbiran baharu pimpinan Perikatan Nasional terbentuk pada Mac dan Faizal dilantik semula sebagai menteri besar dengan sokongan wakil rakyat PAS dan BN.
Namun UMNO dan PPBM bercakaran, baik di peringkat negeri mahupun pusat. Hari ini, wakil rakyat UMNO tidak menyokong Faizal, menyebabkan beliau tersingkir dari kerusi menteri besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan