HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Disember 2020

Ingatlah Hari Air Mata 14 September 2019 – Takiyuddin

“Not that we loved either one of you less” atau dalam bahasa Melayunya “Bukan kita lebih menyayangi salah satu dari anda”. Begitulah ciapan Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan sambil berkongsi gambar logo Pas, Bersatu dan UMNO di Twitternya.

Ciapan itu mungkin berikutan hubungan ketiga-tiga parti yang mewakili orang Melayu dan Islam itu diuji sekian kalinya berikutan undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak yang menyaksikan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Uzumu hilang sokongan.

Dalam ciapan itu, Takiyuddin berkata, Pas menyayangi kesatuan yang wujud antara ketiga-tiga parti itu yang kini mentadbir kerajaan persekutuan bersalam-sama.

Beliau turut meminta Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin untuk bersama-sama berkongsi gambar dalam ciapannya itu selain mengingatkan agar mereka mengingati peristiwa 14 September 2019.

“Bukan kita lebih menyayangi salah satu dari anda, tetapi kita lebih mencintai kesatuan kita . Bro TSAM marilah kita berkongsi gambar di bawah ini, ingatlah Hari Air Mata 14 September 2019,” kata Takiyuddin.

Pada 14 September 2019 UMNO dan Pas memandatangani Piagam Muafakat untuk berkerjasama (bertaawun) antara satu dengan lain dalam mengharungi cabaran arus perdana politik tanah air.

Piagam tersebut ditandatangani sendiri oleh presiden kedua-dua parti dan majlis bersejarah itu dihadiri oleh semua pemimpin UMNO dan PAS dari seluruh negara dan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ramai kalangan pemimpin dan ahli kedua-dua parti itu menangis kegembiraan dan sebak kerana tidak sangka berlaku penyatuan antara mereka.

Kedua-dua parti telah bermusuhan selama berpuluh-puluh tahun dan tidak dinafikan berlaku perpecahan dalam kalangan orang Melayu dan Islam yang merugikan mereka akibat persengketaan politik itu.

Kerjasama UMNO-Pas-Bersatu bermula pada bulan Mac lalu apabila Bersatu di bawah kepimpinan Muhyiddin mengambil keputusan keluar daripada Pakatan Harapan dan kemudian membentuk kerajaan Perikatan Nasional yang disokong oleh ketiga-tiga parti.

Pas kini mungkin tersepit antara hubungannya dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional dan hubungannya dengan UMNO dalam Muafakat Nasional.

Sekiranya kerjasama UMNO-Pas-Bersatu berpecah ia bakal memberi impak yang amat besar kepada lapisan masyarakat Melayu dan Islam yang kini selesa dengan pentadbiran Perikatan Nasional berbanding di bawah Pakatan Harapan sebelum ini.-SM

Tiada ulasan: