HALAMAN SANTAI

Khamis, 10 Disember 2020

Insiden Perak bukti MN, PN saling bergantung antara satu sama lain

Oleh NIK NAIZI HUSIN

KUANTAN: Insiden di Perak sewajarnya menjadi permulaan baharu buat gabungan politik Perikatan Nasional (PN) terutama membabitkan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas yang selama ini sentiasa ada syak wasangka antara satu sama lain.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, insiden itu diharap menjadi titik tolak atau titik perubahan supaya tiada lagi perasaan syak, tuduh menuduh yang telah pun menyebabkan suasana politik negara dalam keadaan huru hara.

“Apabila ini berlaku, pembangkang khususnya DAP dan PKR cuba menangguk di air yang keruh kerana UMNO tidak cukup majoriti. Di Perak kita hanya ada 25 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi akhirnya gabungan PN berjiwa besar, walaupun tegang pada awalnya, akhirnya kita berkompromi antara satu sama lain.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi seperti dimaklumkan telah memohon maaf di atas kesilapan. Itu biasa dalam politik, Presiden UMNO berjiwa besar dan memberanikan diri meminta maaf dan akhirnya kata sepakat dicapai untuk Datuk Saarani Mohammad diangkat Menteri Besar Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kemelut pelantikan Menteri Besar Perak akhirnya selesai apabila Pas dan Bersatu bersetuju menyokong calon tunggal yang dikemukakan UMNO, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan.

Mengulas lanjut, Mohd. Sharkar berkata, apa diharapkan selepas ini, gabungan antara PN terus diperkukuhkan dan apa yang berlaku di Perak itu adalah yang terakhir.

“Mahu tidak mahu, kita tidak dapat menafikan kita (gabungan parti politik dalam PN) memerlukan antara satu sama lain.

“Sifat kebergantungan antara UMNO, Bersatu dan PAS dalam PN menjadi asas kepada pembentukan kerajaan PN pada Mac lalu.

“Tidak ada istilah dari tiga parti ini perlu mengalah antara satu sama lain. Masing-masing memerlukan antara satu sama lain demi mengukuhkan politik tanah air,” katanya.

Jelasnya, penting untuk PN dan MN melihat sejauh mana hubungan yang dimeterai itu dapat dieratkan dan dimantapkan demi kelangsungan kuasa Melayu Islam di negara ini.

“Apa yang perlu diutamakan ketika ini adalah memikirkan dan meletakkan masalah rakyat yang lebih utama daripada masalah peribadi serta kepentingan parti masing-masing.

“Semoga calon tunggal akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak esok dan PN, MN terus kukuh demi agama, bangsa dan negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: