KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pihaknya masih mahu mengekalkan jajaran politik bersama Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Perak.
Bagaimanapun, dengan perkembangan baharu yang dipamerkan oleh kedua-dua parti itu, maka ia akan mengakibatkan parti itu terpaksa menjadi jalan penyelesaian lain untuk membentuk kerajaan Negeri.
“Kita akan melihat semua kemungkinan saya sebutkan seboleh mungkin kita kekalkan jajaran terdahulu tetapi jika itu tidak dapat dilakukan tentu ada penyesuaian yang akan dilakukan untuk penjajaran yang baharu,” katanya kepada media selepas selesai menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di Istana Kinta, hari ini.
Ahmad Zahid berkata demikian merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mana berkata parti itu berpendirian tidak akan menyertai usaha pembentukan kerajaan Perak yang baharu.
Malah Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin juga berkata parti itu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Ditanya samada UMNO BN akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan negeri, Ahmad Zahid tidak menolak kemungkinan itu.
“Kerjasama PH? Semua kemungkinan akan ada. Termasuk DAP? Semua kemungkinan akan ada. Itu tertakluk kepada keputusan muktamad yang akan dilakukan oleh pihak parti,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata, UMNO akan mempersembahkan cadangan nama Menteri Besar Perak yang baharu kepada Sultan Perak.
“Sultan Perak yang akan tentukan secara mutlak siapa yang akan dilantik Menteri Besar Perak,” jelas beliau lagi.
Ujarnya, beliau hanya akan memberikan cadangan untuk jawatan itu dan ia akan dibuat secepat mungkin.
Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memperincikan bilangan nama yang akan dihantar pihaknya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan