HALAMAN SANTAI

Sabtu, 5 Disember 2020

Kalau UMNO sahaja, sukar bentuk kerajaan di Perak – Penganalisis politik

UMNO
Seorang perwakilan Wanita UMNO yang melintasi logo UMNO ketika hadir pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI

KUALA LUMPUR – Undi percaya yang diusul oleh UMNO dan mendapat sokongan Pakatan Harapan di Perak terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu semalam dilihat sebagai tindakan terancang.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, parti itu bertindak sedemikian kerana jawatan Menteri Besar terus dipimpin oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meskipun UMNO memiliki kerusi yang lebih banyak.

“Kalau hendak menyatakan ia berlaku secara kebetulan, tidak, tapi seolah-olah dirancang dan kita tahu pergelokan di Perak ini sudah lama.

”Ketidakpuasan hati UMNO kepada Menteri Besar sudah lama bukan benda baru tapi tidak usaha konkrit.

“Namun apabila usul undi percaya berjaya dibawa dan dibahaskan, maka keputusan itu sudah tentu tidak memihak kepada Menteri Besar,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Apa yang jelas bagi beliau, beberapa isu sebelum ini timbul di antara Bersatu dan UMNO pada peringkat nasional bukan menjadi punca kepada krisis yang berlaku di Perak.

Bagaimanapun Martadha berkata, walaupun usaha yang dirancang untuk menolak Ahmad Faizal kini berhasil, namun sejauh mana kejayaan UMNO membentuk kerajaan negeri masih tidak jelas.

Persoalan ini timbul kerana tanpa Pas dan Bersatu sendiri, UMNO tidak boleh menubuhkan kerajaan negeri.

Dalam masa yang sama, Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) itu menambah, UMNO sudah tentu tidak akan bekerjasama dengan DAP.

“Sudah tentulah kalau hanya UMNO sahaja, parti tidak boleh bentuk kerajaan dan UMNO pula sama sekali tidak bekerjasama dengan DAP dan PKR. Tanpa Pas dan Bersatu, UMNO tidak boleh bentuk kerajaan.

“Oleh itu, kalau tanya saya sekarang senario di Perak, jawapan saya keadaan masih tidak jelas selepas Ahmad Faizal ditolak,” katanya lagi.

Perak mempunyai 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), 25 disandang oleh Barisan Nasional (BN), Bersatu (lima) (lima), Pas (tiga), DAP (16), PKR (tiga), Parti Amanah Negara (lima) dan Gerakan dan Bebas masing-masing satu Gerakan dan Bebas.

Daripada 59 ADUN, 10 menyokong usul undi percaya kepada Peja yang dicadang oleh Adun Pengkalan Bharu dari BN iaitu Datuk Abdul Manaf Hashim, 48 lagi membantah dan satu undi rosak.

Pas pula semalam sudah menyatakan berpendirian tidak akan menyertai usaha pembentukan Kerajaan Perak yang baharu. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: