HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 Disember 2020

MP Warisan tidak hadir Dewan Rakyat mungkin arahan Dr Mahathir


KOTA KINABALU -
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin tidak menolak kemungkinan tindakan Ahli-ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak hadir ke Dewan Rakyat adalah atas arahan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun beliau berkata, tindakan itu adalah bertentangan dengan janji mereka kepada rakyat Sabah sekali gus tidak bertanggungjawab kepada rakan sekutu Pakatan Harapan (PH).

"Kita tidak menolak kemungkinan Ahli-Ahli Parlimen Warisan ini mendapat arahan daripada Mahathir untuk menggagalkan usaha pembangkang atas dendam beliau kerana tidak mampu mendapat 15 sokongan termasuk Ahli Parlimen Warisan sendiri bagi mengusul undi belah bahagi Belanjawan 2021 pada khamis lalu.

"Saya ingin menasihati Ahli-ahli Parlimen Warisan yang turut membawa suara rakyat Sabah agar lebih mengutamakan agenda rakyat berbanding terus berpolitik demi kepentingan individu tertentu," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Razeef berkata, AMK Sabah mengutuk tindakan Ahli Parlimen Warisan yang dikatakan rakan sekutu PH apabila mereka mengambil keputusan keluar dari dewan Parlimen bagi menggagalkan undi belah bahagi pembangkang pada sidang Parlimen semalam.

"Saya melihat tindakan mereka ini bertentangan dengan janji mereka kepada rakyat Sabah.

"Ini bukan masa untuk berpolitik hanya kerana tidak berpuas hati dengan rakan sekutu. Anda dipilih rakyat untuk berada di dewan Parlimen mewakili rakyat yang memberikan amanah kepada anda. Maka jalankan tanggungjawab anda," katanya.

Tambah Razeef lagi, alasan yang diberikan seperti yang dinyatakan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli juga merupakan alasan kebudak-budakan ketika rakyat mengharapkan suara ahli Parlimen mereka menentang belanjawan yang dilihat lebih menguntungkan pihak tertentu berbanding sampai kepada golongan sasar.

"Kita faham kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Labuan memandangkan beliau baru merasa menjadi pembangkang. Beliau sendiri hanya menyertai Warisan pada Oktober 2018 selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang. Sudah pasti menjadi pembangkang ini amat berat buat beliau.

"Namun ini bukanlah pertama kali saya menegur sikap angkuh dan sombong pimpinan Warisan malah saya pernah beritahu sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah bahawa sikap mereka inilah yang bakal menyebabkan kerajaan Warisan di Sabah tumbang dan ia benar-benar berlaku apabila rakyat Sabah menolak Warisan pada pilihan raya yang lalu," katanya.

Razeef turut tertanya adakah Warisan tidak memahami strategi dan tidak melihat pentingnya belanjawan itu kepada rakyat ketika berhadapan dengan pandemik koronavirus (Covid-19) dan kemelesetan ekonomi pada tahun hadapan.

"Kita melihat sendiri kemampuan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membahaskan setiap perincian belanjawan bagi memastikan setiap peruntukan untuk tahun hadapan sampai kepada sasaran dan bukan hanya kepada kroni.

"Buat pertama kali juga kita melihat rakyat mengambil tahu setiap perincian belanjawan yang dibentangkan jika dibandingkan dahulu yang mana rakyat menyerahkan 100 peratus kepada ahli Parlimen untuk menentukan," katanya.

Razeef berkata lagi, rakyat kini dapat melihat dan mendengar sendiri peruntukan yang diumum kerajaan serta mampu menilai sama ada setiap inisiatif itu perlu atau hanya satu pembaziran yang menguntungkan pihak tertentu.

"Kita sepatutnya menjadi pembangkang yang berkualiti dan bukan sibuk berpolitik di saat ketua pembangkang serta Ahli-ahli Parlimen PH sibuk memastikan belanjawan sampai kepada rakyat.

"Anda dipilih sebagai wakil rakyat untuk mewakili rakyat dan bukan mewakili individu tertentu," katanya.

Tiada ulasan: