HALAMAN SANTAI

Ahad, 6 Disember 2020

Pendirian Muhyiddin berhubung sekularisme dikesali, kata Kit Siang

 FMT Reporters

Veteran DAP Lim Kit Siang berkata ucapan Muhyiddin mengisytiharkan perang 
terhadap sekularisme mesti diteliti dengan penuh kerisauan oleh rakyat Malaysia.

PETALING JAYA: DAP menyifatkan serangan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin terhadap sekularisme menyerupai tindakan menggunakan agama demi kelangsungan politik.

Veteran parti itu Lim Kit Siang berkata, Muhyiddin, dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Tahunan PPBM minggu lalu, berikrar memerangi sekularisme dan liberalisme, dengan menyebut bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan Umno dan PAS adalah “kehendak Tuhan”.

“Ucapan Muhyiddin mesti diteliti dengan penuh kerisauan oleh rakyat Malaysia yang berpegang pada Perlembagaan Merdeka 1957, Perjanjian Malaysia 1963 dan Rukun Negara 1970.

“Status Islam sebagai agama rasmi Malaysia tidak bermaksud bahawa Malaysia bukan negara sekular yang menjamin kebebasan beragama di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memetik Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyebut, “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.”

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, alasan sejarah di sebalik klausa ini sebelum kemerdekaan pada 1957 adalah suatu bentuk jaminan bahawa Malaysia akan terus menjadi negara sekular.

“Berdasarkan latar belakang perlembagaan dan sejarah ini, rakyat Malaysia berhak mengetahui sama ada PPBM sekarang mengikuti PAS yang enggan memberikan pengiktirafan kepada prinsip sekular dalam Perlembagaan Malaysia.

“Menjadi satu perkara yang amat dikesali, demi kelangsungan politik sendiri dan untuk tidak menjadi perdana menteri penggal terpendek, Muhyiddin berusaha untuk berkompromi dengan prinsip-prinsip dasar negara,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Selangau Baru Bian meminta Muhyiddin menarik balik kenyataannya terhadap sekularisme dan liberalisme kerana dianggap tidak sensitif terhadap aspirasi rakyat Sarawak.

Beliau juga menggesa pemimpin Sarawak yang berfikiran waras supaya membuat pendirian dalam isu ini dan bangun bersuara bagi melindungi Perlembagaan Persekutuan dan ciri sekular.

Tiada ulasan: