Bernama
Annuar
tiba di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra bagi menghadiri
Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Muafakat Nasional malam tadi.
--fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR:
Mesyuarat Sekretariat Muafakat Nasional malam tadi memuji kepimpinan
parti Bersatu, UMNO dan Pas di Perak yang berjaya menyelesaikan kemelut
politik di negeri itu melalui rundingan.
Setiausaha
Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui selepas
mesyuarat itu berkata, mesyuarat malam tadi menyentuh mengenai
penyelesaian masalah di Perak serta beberapa perkara rutin yang lain.
"Mesyuarat
hari ini merupakan mesyuarat berkala yang biasa. Selain itu mesyuarat
turut membincangkan kerjasama Muafakat Nasional bersama Bersatu,"
katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu di Pusat Dagangan Dunia
Putra di sini.
Sementara itu Timbalan
Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata mesyuarat malam
tadi turut membincangkan persiapan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum
ke-15.
"Mesyuarat ambil maklum mengenai persetujuan yang dicapai ketiga-tiga parti di Perak," katanya.
Setiausaha
Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan pula berkata kemelut yang berlaku
dalam kerajaan negeri Perak perlu diambil sebagai pengajaran untuk
mendewasakan hubungan politik UMNO, Bersatu dan Pas.
Beliau berkata isu politik di Perak membuktikan rundingan merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang masalah.
"Ada banyak pengajaran daripada peristiwa di Perak. Kalau berunding, masalah selesai," katanya.
Kemelut
politik di Perak sejak minggu lepas menemui jalan penyelesaian apabila
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan Datuk Saarani Mohamad
mendapat perkenan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini untuk
dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.
Saarani,
59, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak akan
menjadi Menteri Besar Perak ke-14, menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal
Azumu yang meletak jawatan bersama seluruh barisan Ahli Majlis Mesyuarat
Kerajaan negeri (Exco) pada 5 Dis lepas.
Ahmad
Faizal, ADUN Chenderiang, meletak jawatan selepas gagal mendapat
sokongan menerusi usul 'keyakinan majoriti ahli Dewan terhadap menteri
besar' pada Jumaat lepas.
Ahmad Maslan
berkata pemilihan Saarani adalah bersesuaian dengan kedudukan Barisan
Nasional yang mempunyai kerusi paling banyak dalam DUN Perak.-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan