CYBERJAYA: Selepas berdiam diri, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk
Saarani Mohamad akhirnya bersuara tentang apa yang berlaku hingga menyebabkan
ADUN Chenderiang, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ataupun dikenali sebagai Peja
hilang sokong di DUN.
Menurut Shaarani, pelantikan ADUN Pengkalan Hulu, Datuk Aznel Ibrahim sebagai
Setiausaha Politik Menteri Besar Perak antara bibit awal krisis politik yang
melanda negeri itu.
Saarani berkata suasana yang cuba dibina di Perak tidak dihargai dengan baik
apabila satu demi satu tindakan Faizal membelakangi semangat kemuafakatan.
“Saya mendengar penjelasan Menteri Besar kepada soalan pemberita berkaitan
dengan pelantikan ADUN Pengkalan Hulu sebagai Setiausaha Politik beliau.
“Meskipun saya cuba mengelak untuk membuat kenyataan terbuka apabila Menteri
Besar melantik seorang dari ahli YB (Yang Behormat) dari UMNO, tetapi beliau
sendiri telah secara terbuka menyatakan bahawa beliau tidak perlu mendapat
kebenaran dari parti UMNO.
“Perlu saya jelaskan bahawa ketika persetujuan untuk membentuk kerajaan,
ketiga-ketiga pihak iaitu Bersatu, UMNO dan PAS telah membuat persetujuan
bertulis untuk saling hormat menghormati dalam urusan pelantikan setiap wakil
sama ada sebagai ahli majlis mesyuarat (Exco), ahli lembaga pengarah syarikat
berkaitan kerajaan dan lantikan politik yang lain,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata sewajarnya, pelantikan mana-mana ADUN, atau pemimpin UMNO dalam
kerajaan hendaklah dibincangkan dengan badan perhubungan negeri atas semangat
setiakawan dan prinsip hormat menghormati.
“Harus diingat, Kerajaan Negeri Perak hari ini dibentuk atas semangat
setiakawan serta persefahaman bagi memastikan Perak terpelihara daripada
ancaman politik yang tidak sihat. Tanpa semangat setiakawan kestabilan politik
negeri ini akan terancam.
“Bagaimanapun, nampaknya persefahaman serta perjanjian ketika pembentukan
Kerajaan Negeri Perikatan Nasional sudah tidak dihormati. Hakikatnya, ia sudah
berkali-kali dilanggari. Sebelum ini pun, ada cubaan untuk mengubah senarai
nama Exco yang sudah dipersetujui serta cubaan menukar pelantikan Speaker
Dewan Undangan Negeri,” katanya.
Saarani menegaskan, UMNO dan Barisan Nasional Perak tidak tamak kuasa seperti
yang didendangkan setiap kali mereka bersuara.
“Hakikatnya, kami mempunyai 25 Adun, jumlah paling besar di dalam Dewan
Undangan Negeri. Namun atas ketaatan dan semangat tolak ansur, kami tidak
menarik sokongan apabila jawatan Menteri Besar diberikan kepada Bersatu.
“Namun janganlah sikap keterbukaan, ketaatan serta tindakan berdiam diri kami
selama ini dianggap sebagai kelemahan dan UMNO Perak boleh diperkotak-katikkan
sehingga satu persatu persetujuan yang dimeterai bersama sebelum ini cuba
dikhianati.
“Pendekatan berdiam diri selama ini diambil bagi mengelakkan rakyat menjadi
mangsa dalam waktu pandemik Covid-19 ini. Hentikanlah bermain politik dan
bersandiwara serta tumpukan kepada kebajikan rakyat yang menderita sekarang,”
katanya.
Jumaat lepas, Ahmad Faizal yang juga Timbalan Presiden Bersatu dan Ahli
Parlimen Tambun gagal mendapat sokongan majoriti daripada wakil-wakil rakyat
negeri itu dalam undian percaya bagi mengekalkan kedudukan sebagai menteri
besar.
Sebanyak 48 undi menolak usul keyakinan itu berbanding 10 yang menyokongnya.
Satu undi rosak atau berkecuali.
Usul tersebut dibawa ADUN Pengkalan Baru dari UMNO, Datuk Abd Manaf Hashim. –
SuaraTv
Tiada ulasan:
Catat Ulasan