HALAMAN SANTAI

Rabu, 9 Disember 2020

Sidang DUN Perak esok, berlangsung untuk usul penangguhan?

IPOH: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang ditangguhkan Jumaat lalu, susulan kegagalan usul undi percaya terhadap kepemimpinan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dijadualkan disambung semula jam 2.30 petang esok.

Susulan tumpuan ramai ke arah persidangan dijadualkan itu, hanya petugas media yang memegang pas DUN Perak saja, dibenarkan berada dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan, sepanjang sidang DUN itu berlangsung.

Berdasarkan pekeliling yang diedarkan menerusi aplikasi WhatsApp kepada wakil media, persidangan DUN itu boleh diikuti secara langsung menerusi https://www.youtube.com/c/DUNPerak.

Usaha BH mendapatkan maklumat lanjut berhubung perjalanan persidangan itu daripada Yang Dipertua DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid, tidak berhasil.

Beliau enggan memberi sebarang ulasan mengenainya, kecuali mengesahkan persidangan itu akan disambung jam 2.30 petang esok.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan dilaporkan Bernama, sebelum ini, Mohamad Zahir berkata, persidangan DUN esok tidak dapat diteruskan sekiranya tiada menteri besar dan sekurang-kurangnya empat ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dilantik.

Beliau berkata, ketiadaan menteri besar pada hari ini, menyebabkan usul penangguhan persidangan DUN perlu dibuat.

"(Jika) Katakan kerajaan tidak terbentuk bila sambung persidangan pada 2.30 petang Rabu (esok), saya akan minta seorang ADUN mengemukakan usul supaya persidangan ditangguhkan hingga suatu tarikh akan diberitahu kelak," katanya.

Berdasarkan jadual asal, persidangan DUN Perak sepatutnya berlangsung selama lima hari bermula Jumaat lalu dengan pembentangan Belanjawan 2021 sebelum bersambung semula pada semalam hingga Jumaat ini.

Pada Jumaat lalu, persidangan sepatutnya bermula dengan sesi soal jawab lisan sebelum diikuti pembentangan belanjawan negeri oleh Ahmad Faizal.

Namun, speaker membenarkan pembentangan usul 'keyakinan ADUN terhadap menteri besar' yang dibawa oleh Datuk Abd Manap Hashim (BN-Pengkalan Baru) yang menyaksikan Ahmad Faizal kehilangan sokongan majoriti ADUN.

Keputusan pengundian menyaksikan Ahmad Faizal hanya memperoleh 10 undi menyokong, berbanding 48 undi terdiri daripada 24 wakil BN daripada UMNO dan 24 wakil Pakatan Harapan (PH) menolak, dan satu berkecuali.

Susulan keputusan pengundian itu, Mohamad Zahir menangguhkan serta merta persidangan DUN Perak sehingga esok.

Ahmad Faizal yang juga ADUN Chenderiang, kemudiannya mempersembahkan surat peletakan jawatannya sebagai menteri besar dan juga barisan Exco kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Mengulas lanjut terhadap isu itu, Mohamad Zahir menjelaskan yang menteri besar baharu perlu memberi notis kepada DUN untuk menyambung persidangan dalam tempoh 14 hari selepas pelantikannya dan persidangan pula hanya boleh bermula selepas dua minggu notis diterima oleh DUN.

Tiada ulasan: