HALAMAN SANTAI

Isnin, 7 Disember 2020

Warisan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu atau PN



KOTA KINABALU -
Parti Warisan Sabah (Warisan) menegaskan tiada kerjasama antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri.

Timbalan Ketua Wirawati Warisan, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, tiada alasan untuk bekerjasama dengan PN atau Bersatu kerana sebelum ini kerjasama itu banyak menyusahkan Warisan.

"Pertama, Bersatu mungkir janji untuk tidak menubuhkan cawangan di Sabah dan kedua, selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, mereka tanpa henti menekan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan pemimpin lain untuk tunduk pada PN. Yang terakhirnya apabila mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Warisan Plus pada Julai lalu.

"Jadi jika ada yang gembira melihat Muhyiddin merasakan sendiri, maka itu adalah Warisan Plus. Oleh itu nasihat saya kepada pemimpin PH yang tidak pernah melalui apa yang dilalui oleh Warisan tetapi kini tiba-tiba menuduh kita bersekutu dengan PN diminta supaya berhati-hati apabila bercakap," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tuduhan pihak tertentu yang mengatakan ahli-ahli Parlimen Warisan tidak menjalankan tugas untuk rakyat Sabah ketika tidak menyertai undi belah bahagi di Dewan Rakyat.

Katanya lagi, komitmen yang ditunjukkan oleh ahli Parlimen Warisan yang dipimpin Mohd Shafie dalam Parlimen membolehkan mereka menyelesaikan beberapa isu penting berkaitan dengan Sabah.

"Khamis lalu, semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021 Ahli Parlimen Warisan memilih bagi usul yang dibentangkan Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) kerana Ahli Parlimen Warisan secara moralnya wajib memilih usul yang berkaitan dengan Sabah dan kedua, Upko tetap tegas mempertahankan kerjasama yang ada dengan Warisan.

"Semasa perbahasan peringkat dasar RUU Perbekalan 2021, ahli Parlimen Warisan memberikan dua cadangan penambahbaikan penting terhadap belanjawan iaitu peningkatan peruntukan koronavirus (Covid-19) sebanyak RM50 juta dan mengkaji semula elaun perumahan wilayah (EPW) untuk kakitangan Sabah yang bekerja untuk kerajaan Persekutuan di Putrajaya dan kedua-duanya akan dimasukkan dalam RUU itu.

"Jadi persoalan mengatakan bahawa ahli Parlimen tidak menjalankan tugas mereka untuk rakyat Sabah adalah mengelirukan dan ia harus ditanya oleh rakyat Sabah, apa yang ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sumbangkan kepada Sabah dalam RUU Perbekalan itu," katanya.

Jo- Anna berkata, Warisan akan meneruskan kerjasama dengan PH dan parti pembangkang yang lain namun memerlukan ketua pembangkang yang berwibawa dan berprinsip.

"Kami masih menghormati kerjasama pakatan politik antara Warisan dan PH serta UPKO tetapi kami mengambil berat berhubung kurangnya kredibiliti pihak pemimpin pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kemampuan penyampaiannya yang mungkin menyebabkan akhirnya pengundi PH kecewa.

"Warisan tidak boleh terus membiarkan dirinya digunakan untuk agenda peribadi orang lain yang sama sekali tidak memberi faedah kepada Sabah.

"Secara asasnya, parti hanya perlu menyatakan pendiriannya sekarang dan bukan ketika pilihan raya sudah hampir tiba," katanya.

Tiada ulasan: