HALAMAN SANTAI

Rabu, 3 Februari 2021

COVID-19: Hentikan pengumuman harian jangkitan di televisyen - Syed Ali

Astro Awani
COVID-19: Hentikan pengumuman harian jangkitan di televisyen - Syed Ali
SYED ALI: Pengumuman harian jangkitan COVID-19 di televisyen seolah-olah 
memberi gambaran kerajaan telah gagal menangani isu ini. - Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran segera menghentikan pengumuman harian mengenai jumlah jangkitan kes COVID-19 di televisyen kerana ia hanya menambahkan lagi kegusaran rakyat.
 
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee menegaskan, tiada sebarang justifikasi untuk pengumuman itu dipaparkan di kaca televisyen sedangkan jumlah kes semakin meningkat malah tiada sebarang petunjuk penurunan.
 
"Ia seolah-olah memberi gambaran kerajaan telah gagal menangani isu ini. Saya berpendapat adalah lebih baik jika kerajaan menumpukan keutamaan mengatasi isu kemiskinan dan kesusahan yang sedang dihadapi rakyat serta memikirkan bagaimana usaha untuk mengatasinya secara lebih berkesan dan menyeluruh akibat penularan COVID-19,"katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya, pada Selasa.
 
BACA: PKP 2.0 disambung hingga 18 Februari, rentas negeri, aktiviti sosial masih tidak dibenarkan
BACA: COVID-19: 'Tidak perlu panik kes positif harian yang tinggi sekiranya...'
 
Kes baharu COVID-19 akhir-akhir ini ada mencatatkan angka melebihi 5,000 kes.
 
Selain itu, ratusan lagi sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan angka tetap tinggi bagi mereka yang memerlukan bantuan pernafasan.
 
Dalam pada itu kata Syed Ali, kerajaan juga diminta mengkaji semula larangan mengerjakan solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan surau.
 
Jelasnya, ia penting memandangkan ramai umat Islam amat kecewa dengan pelbagai sekatan dikenakan terhadap mereka terutama untuk menunaikan solat Jumaat.
 
"Saya juga terkilan apabila masjid dan surau dihadkan kepada jemaah tertentu dengan jumlah begitu terhad yang menunjukkan seolah-olah rumah ibadat ini kelihatan seperti berbahaya untuk dikunjungi.
 
"Saya bimbang, apabila jumlah kehadiran jemaah yang disekat dengan bilangan tertentu akan menyebabkan tercetus fenomena baharu di mana ada yang akan sengaja meninggalkan solat Jumaat dengan alasan COVID-19.
 
"Jika gejala ini berterusan, lama-kelamaan ia menjadi kelaziman baharu dalam masyarakat Islam di negara ini dan akhirnya masjid dan surau terbiar sepi tanpa sebarang aktiviti keagamaan," katanya.
 
Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah maksimum lima orang.
 
Tegasnya, bagi negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), aktiviti keagamaan dibenarkan dengan bilangan kehadiran minimum ditetapkan di dalam prosedur operasi standard (SOP).
 
Syed Ali juga meminta agamawan dan pihak berkuasa agama memikirkan tempoh berapa lama lagi masjid hendak dibiarkan kosong dengan jemaah yang terhad dan kuliah-kuliah agama dihentikan dengan alasan patuh SOP.
 
"Peraturan manusia tersebut boleh dipinda. Pada hemat saya, pembukaan semula masjid dan surau tanpa mengehadkan bilangan jemaah boleh dilakukan dengan syarat pemantuhan SOP diperketatkan, seperti dilakukan di tempat awam seperti pasaraya dan sebagainya.
 
"Penularan pandemik COVID-19 sudah setahun lebih berlaku di negara ini dan adalah mustahil kerajaan masih lagi tidak ada pengalaman untuk menguruskan wabak tersebut.
 
"Setahun lebih bukan jangka masa yang singkat dan banyak negara jiran dilihat lebih berkesan menangani COVID-19 berbanding Malaysia," ujarnya.
 
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, rentas negeri dan aktiviti sosial masih tidak dibenarkan sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dilanjutkan sehingga 18 Februari ini.
 
Kata Ismail, keputusan itu dibuat berikutan peningkatan kes dan kluster membabitkan aktiviti rentas negeri.

Tiada ulasan: