KUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya kerajaan melantik ‘jeneral’ baharu yang berperanan merangka strategi dalam usaha memerangi pandemik Covid-19, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Tanggungjawab itu antara bagi memimpin pasukan merentasi kementerian, pelbagai jabatan dan agensi untuk segera bertindak balas terhadap perubahan pandemik yang tidak menentu.
Kata beliau, cadangan itu termasuk menyelaras tindak balas antara semua bidang termasuk kesihatan, keselamatan, kesejahteraan dan ekonomi negara.
“Ini bukanlah bermaksud menggantikan peranan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Beliau telah melaksanakan tugas dengan luar biasa dan harus dipuji namun beliau tidak harus terikat dengan isu pandemik Covid-19 sahaja.
“Institut dan industri kesihatan jauh lebih besar daripada pandemik ini. Masalah kesihatan lain juga memerlukan perhatian yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Khaled berkata, sudah hampir setahun berlaku sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tetapi setakat ini tidak banyak tanda yang menunjukkan perkembangan.
Katanya, kerajaan perlu mempertimbang reformasi institusi dan struktur lebih drastik melihat keadaan ekonomi telah terencat, sistem pendidikan yang gagal dan institusi kebajikan tidak dapat melindungi semua rakyat yang terdedah.
“Sememangnya, kerajaan cuba melakukan yang terbaik tetapi tanpa ‘Chief in Command’ yang layak untuk menyatukan dan menyelaras usaha pelbagai pihak, semua ikhtiar tidak akan dapat menghasilkan perubahan berimpak besar dan lestari.
“Kita harus berhati-hati untuk tidak meluaskan kebergantungan pada usaha amal sukarela dan sebaliknya, mula membuat rancangan teliti untuk mengatasi akar permasalahan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan