HALAMAN SANTAI

Jumaat, 19 Februari 2021

DAP lapor SPRM minta siasat kekayaan Rina Harun

 Oleh SHAARANI ISMAIL
DAP lapor SPRM minta siasat kekayaan Rina Harun 

IPOH: Pemuda DAP Kebangsaan (DAPSY) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berikutan keupayaannya membayar hutang dalam tempoh singkat, tidak setara dengan jumlah pengisytiharan harta yang dinyatakan sebelum ini.

Naib Ketua Pemudanya, Jenny Choy berkata, SPRM perlu menjalankan siasatan bagaimana Rina berjaya mengumpul kekayaan dan dana yang cukup untuk melunaskan hutang sebanyak RM1.3 juta dalam masa 15 bulan.

Katanya, jika merujuk kepada data pengisytiharan aset SPRM ketika ini yang diterbitkan pada 20 November tahun lalu, aset dimiliki Rina hanyalah berjumlah RM72,000.

“Dengan pendapatan sebagai menteri sebanyak RM34,034 sebulan dan jika pendapatannya tidak berubah dan kekal sejak 2019, ia mengambil masa selama kira-kira 40 bulan bagi mengumpul dana dalam menyelesaikan Notis Kebangkrapan.

“Dengan syarat Rina tidak menggunakan satu sen pun dari pendapatannya.

“Untuk itu, DAPSY meminta supaya SPRM menyiasat adakah Rina menerima pendapatan tambahan yang berjumlah besar dan adakah beliau telah membuat penyataan palsu pada bulan November berhubung milikan asetnya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM Perak di sini hari ini.

Beliau berkata, sebagai seorang menteri Kabinet dan penjawat awam, Rina perlu memberikan penjelasan kepada seluruh rakyat Malaysia.

Sebuah portal dalam talian sebelum ini yang memetik Mark Ho, peguam yang mewakili syarikat produksi dan filem Sarl Novovision memaklumkan Rina telah menyelesaikan hutangnya minggu lalu, bagaimanapun dia enggan mendedahkan jumlah tunggakan yang dibayar Rina.

Syarikat tersebut memfailkan saman terhadap Rina pada 8 November 2018 yang menuntut Rina menjelaskan hutangnya sebelum 31 Julai 2019.

Tuntutan itu untuk beberapa filem, dokumentari dan rancangan komedi yang dijual kepada tiga syarikat, yang mana Rina menjadi pengarahnya.

Rina menerima Notis Kebankrapan untuk hutang terhadap Sarl Novovision berjumlah RM1,340,642.02, setakat 17 November 2020.

Rina merupakan salah seorang pengarah syarikat Eurofine (M) Sdn Bhd, Fine Mobile Network Sdn Bhd dan Fine TV Network Sdn Bhd. yang kini telah ditutup yang membeli beberapa program daripada syarikat itu.

Pada Mei 2014, Rina dan seorang lagi pengarah, Ida Rahayu Md. Noor, memeterai perjanjian jaminan dengan Sarl Novovision untuk secara peribadi dan bersama menanggung semua liabiliti syarikat.

Bagaimanapun, tiga syarikat itu masing-masing telah ditutup pada Disember 2013 hingga Ogos 2015. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: