Wan Syamsul Amly
Dr
Kartini menjelaskan, peertandingan tiga penjuru juga senario biasa yang
sudah berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu serta PRU14
lepas.
- Foto fail
KUALA LUMPUR:Pertandingan
melibatkan tiga penjuru sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti
diibarat seperti pepatah 'alah bisa, tegal biasa' dalam senario pilihan
raya di negara ini.
Timbalan Pengarah
Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),
Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib menjelaskan, ia juga senario biasa
yang sudah berlaku pada Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu serta PRU14
lepas.
Bagaimanapun
jelasnya, pertandingan tiga penjuru tidak akan merealisasikan hasrat,
jika mahu mengekalkan kepimpinan Melayu dalam negara pelbagai etnik.
Ujarnya, ini adalah masa parti-parti Melayu perlu bergabung dan bersedia mengetepikan soal tamak dan kuasa.
"Sebelum
berlakunya perpecahan parti Melayu pun, senario pilihan raya di
Malaysia telah biasa melihat tiga penjuru, empat penjuru, jadi saya rasa
tidak perlu bimbang dengan kemeriahan penjuru, melainkan kita mahu
melihat negara ini, yang satu ketika dahulu, dipimpin oleh kepimpinan
Melayu.
"Kita boleh menyeru parti-parti
Melayu untuk bergabung dan bersedia berkongsi kuasa dalam keadaan yang
lebih seimbang dan bertolak ansur.
"Tetapi
seandainya kemelut tamak dan kepentingan parti itu mengatasi
kepentingan rakyat dan negara, maka secara realitinya, pragmatik akan
berlaku tiga hingga empat penjuru seperti sebelumnya.
"Kita
tidak melihat perkara ini dalam keadaan yang akan mewujudkan
ketidakstabilan. Ini adalah kemeriahan dan kerencaman demokrasi,"
katanya semasa dihubungi pada Khamis.
Presiden
Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR), Profesor Dr. Mohd Roslan Mohd
Nor sebelum ini berkata, pertandingan melibatkan tiga penjuru sewaktu
PRU15 nanti hanya akan merugikan sentimen politik Melayu-Islam, termasuk
kestabilan negara.
Dr. Mohd Roslan turut
berpandangan situasi Parlimen tergantung bakal berlaku sekiranya
Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH)
berentap sesama mereka.
Dalam pada itu
kata Dr Kartini, faktor defisit kepercayaan merupakan isu utama dalam
perhubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini.
"UMNO
sebagai parti yang lebih lama tidak mahu diperlekehkan oleh Bersatu,
iaitu dilihat sebuah parti serpihan buat masa ini yang bergantung kepada
UMNO untuk survivalnya.
"Jadi untuk UMNO
dan Bersatu, apa yang perlu dilakukan pemimpinnya ialah duduk dan
berbincang serta meleraikan kekusutan dalam agihan kerusi selain perlu
meraikan semangat ukhwah mengatasi kepentingan peribadi," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan