HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

Hubungan UMNO, PAS baik - Ahmad Zahid

KUALA LUMPU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan hubungan UMNO dan PAS dalam keadaan baik di sebalik tanggapan kedua-dua parti berdepan masalah.

Presiden UMNO itu berkata, UMNO akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) kerana ia terbukti memberi impak positif.

"Bagi menjelaskan persoalan mengenai kedudukan MN yang dimeterai UMNO dan PAS pada tahun 2019, apa yang boleh saya katakan adalah hubungan kedua-dua parti masih baik walaupun terdapat pelbagai interpretasi di luar.

"Hubungan kedua-dua parti masih berjalan walaupun mungkin ada pihak tidak berapa senang dan berterusan mencari jalan untuk merenggangkan," katanya dalam hantara di Facebook, malam ini.

Ahmad Zahid menjelaskan, ilham untuk menjalinkan kerjasama di antara UMNO dan PAS sebenarnya wujud sejak tahun 1998 ketika Allahyarham Datuk Dr Haron Din menjadi Ketua Penerangan PAS.

"Ketika itu, Allahyarham menyatakan betapa hasratnya mahu melihat UMNO dan PAS dapat berkongsi fikrah antara satu sama lain walaupun tidak bergabung sebagai sebuah parti suatu hari nanti.

"Saya secara peribadi menganggap hasrat itu sebagai wasiat Allahyarham tuan guru (Haron) kepada saya apabila beliau kembali ke rahmatullah pada 2016.

"Syukur, wasiat itu dapat ditunaikan melalui pemeteraian Piagam MN pada 14 September 2019," katanya.

Katanya, usaha mewujudkan kerjasama UMNO dan PAS pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) turut dijayakan kepemimpinan tertinggi kedua-dua parti.

Ahmad Zahid berkata, UMNO juga memastikan Barisan Nasional (BN) akan terus diperkasakan di samping mengukuhkan hubungan dengan pihak yang jujur dan ikhlas dengan parti itu.

Tiada ulasan: