HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

UMNO Sabah sasar tanding 13 kerusi Parlimen pada PRU-15

 Bung Moktar (tengah) bersama Yakub (kiri) dan Jafry (kanan) pada Mesyuarat UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam. - Foto ihsan UMNO Sabah.
Bung Moktar (tengah) bersama Yakub (kiri) dan Jafry (kanan) pada Mesyuarat UMNO Sabah di Kota Kinabalu, semalam. - Foto ihsan UMNO Sabah.

KOTA KINABALU: UMNO Sabah meletakkan sasaran bertanding sekurang-kurangnya 10 hingga 13 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata sasaran itu mengambil kira jumlah kerusi ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, parti itu juga akan mengambil kira kajian Sekretariat Penyelidikan, Jabatan Urusan Pilihan Raya (JUARA) UMNO Sabah mengenai sokongan di kerusi yang dituntutnya.

Katanya, sekretariat itu yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Ir Shahelmey Yahya akan menjalankan kajian berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.

"Penyelidikan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat dan hasil laporannya nanti akan dijadikan panduan untuk kita memuktamadkan keputusan mengenai kerusi Parlimen yang bakal ditandingi UMNO," katanya selepas mesyuarat JUARA UMNO Sabah, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yakub Khan; Pengerusi JUARA UMNO Sabah yang juga Setiausaha UMNO Sabah, Datuk Jafry Arifin dan Pengarah Pilihan Raya PRU-15 UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Pada PRU-14 pada 2018, UMNO Sabah bertanding di 14 kerusi Parlimen iaitu di Kudat, Kota Belud, Sepanggar, Papar, Kimanis, Beaufort, Sipitang, Tenom, Beluran, Libaran, Kinabatangan, Lahad Datu (Silam), Semporna dan Kalabakan.

Bagaimanapun, ketika ini UMNO hanya menguasai dua daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Kinabatangan yang diwakili Bung Moktar dan Kimanis yang disandang Datuk Mohamad Alamin.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah akan berunding terlebih dulu dengan parti lain dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengenai agihan kerusi masing-masing.

Katanya, rundingan di antara parti dalam gabungan itu perlu dibuat secara telus dengan mengambil kira kekuatan masing-masing dan ia perlu dibuat lebih awal sebelum Parlimen dibubarkan.

"Keutamaan kita dalam PRU-15 ialah mahu menang untuk menubuhkan kerajaan, bukan kerusi untuk bermegah. Jadi, kita perlu meneliti setiap kerusi, termasuk geopolitik, kehendak pengundi dan lokalitinya," katanya.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah mengingatkan menteri dan pembantu menteri negeri daripada UMNO supaya lebih proaktif turun padang menangani masalah rakyat.

Katanya, majoriti rakyat memerlukan perhatian kerajaan berikutan terkesan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya harap semua wakil rakyat UMNO mengekalkan momentum untuk terus bekerja dan bersama rakyat, bukannya bekerja ketika dekat pilihan raya saja," katanya.

Beliau berkata, UMNO Sabah akan mengadakan sambutan ulang tahun ke-30 kemasukan parti itu ke negeri ini yang dibuat secara sederhana mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan, pada 20 Februari ini.

Tiada ulasan: