Abdul Hadi Che Awang
Menurut
Shahidan, ianya berbeza dengan beberapa "pihak lain" yang
disifatkannya
hanya mampu membuat 'tayangan baju' dalam program yang
dianjurkan. -
Gambar fail
ARAU:
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim
menjelaskan bahawa kekuatan parti itu masih lagi luar biasa dengan
kewujudan jentera akar umbi yang menjadi nadi keutuhan parti Melayu itu
di seluruh negara.
Menurutnya, ianya
berbeza dengan beberapa 'pihak lain' yang disifatkannya hanya mampu
membuat 'tayangan baju' dalam program yang dianjurkan.
Jelasnya,
atas kekuatan itu, beliau menyatakan bahawa pihak Pas mempunyai
keyakinan dan selesa untuk bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN)
terutama di negeri Perlis dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU-15)
yang difahamkan akan diadakan selepas keadaan wabak COVID-19 di Malaysia
semakin baik.
Tambah Shahidan yang juga
Ahli Parlimen Arau, jentera MN di negeri itu akan terus bergerak ke
hadapan meskipun wujud beberapa masalah kecil sebelum ini seperti
pendaftaran secara rasmi membabitkan kerjasama antara Pas dan UMNO.
"Yang paling penting, Pas masih yakin dengan UMNO, dan Pas rasa selesa untuk kerja dengan UMNO sebab UMNO ada jentera.
"Kalau
kita nak buat majlis di sini, kita tidak beritahu orang luar untuk buat
majlis, kita ada kekuatan kita sendiri, kalau nak buat di kampung, kita
ada kekuatan sendiri, dan Pas tahu ini kekuatan UMNO yang luar biasa,
di semua tempat kita ada UMNO tetapi orang lain, banyak orang sama buat
di Padang Besar, buat di Kangar di Arau, itu bukan kekuatan, itu hanya
pergi tayang baju sahaja," katanya.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Jamuan Pandu Lalu
Tahun Baharu Cina 2021 anjuran MCA Bahagian Arau di Tokong Cina Jejawi
pada Sabtu.
Dalam pada itu, Shahidan
menyatakan bahawa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu adalah bukan disebabkan kelemahan jentera
parti sebaliknya persepsi buruk yang dimainkan pihak Pakatan Harapan
(PH).
Perlis memiliki tiga kerusi
Parlimen yang mana dua daripadanya dimenangi oleh calon daripada parti
UMNO iaitu Arau dan Padang Besar, manakala kerusi Parlimen Kangar
dimenangi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Di
peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), UMNO memiliki komposisi kerusi
tertinggi dengan sembilan kerusi DUN, diikuti PKR dengan tiga kerusi,
Pas ( dua kerusi DUN) dan MCA (satu kerusi DUN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan