HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

Najib gagal gugur Sri Ram dalam perbicaraan pinda laporan audit 1MDB

Mahkamah Tinggi juga mendapati aduan terhadap Sri Ram atas penglibatannya 
dalam penyiasatan terhadap Najib tiada merit.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Najib Razak untuk menggugurkan kelayakan pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram daripada memimpin pendakwaan dalam perbicaraan ubah pinda laporan audit 1MDB yang sedang berjalan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata, permohonan bekas perdana menteri itu tidak berasas dan salah tempat kerana Sri Ram, seperti orang lain, berhak atas pendapat peribadinya.

“Ini akan menjadi pertimbangan yang berbeza sekiranya dia menunjukkan sikap berat sebelahnya ketika menjalankan tugas sebagai pendakwa raya kanan,” kata hakim itu ketika memberikan sebab-sebabnya secara lisan.

Kata Zaini, pendapat peribadi Sri Ram tidak semestinya akan menghalang tugasnya sebagai pendakwa raya.

Tambah beliau, peristiwa itu berlaku sebelum Sri Ram dilantik sebagai pendakwa raya ad hoc.

Lebih-lebih lagi, Najib tidak membuat aduan mengenai kelakuan Sri Ram dalam perbicaraan yang melibatkannya.

“Ini memberi keyakinan yang Sri Ram telus dalam tingkah lakunya sebagai pendakwa raya,” kata beliau, dan menambah, beliau juga mendapati aduan terhadap Sri Ram atas penglibatannya dalam penyiasatan terhadap Najib tiada merit.

Zaini juga berkata, tidak ada bukti yang kuat untuk menyokong tuduhan Najib dan ia kekal bersifat hipotesis.

“Isu ini telah diteliti dalam permohonan sebelumnya seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan. Isu ini tidak relevan dan telah dibahas dan diputuskan,” kata beliau.

Kata Zaini, keputusan mahkamah lain harus dikekalkan dan tidak perlu diulang.

“Ia menjadi kewajipan utama bahawa perbicaraan dilakukan dengan adil demi kepentingan keadilan. Mahkamah akan membantu pihak yang diperlakukan secara tidak adil, sekiranya ia terjadi,” tambah beliau.

Tahun lalu, Najib mengemukakan permohonan untuk menggugurkan kelayakan Sri Ram, dengan sokongan dua afidavit, satu diajukan olehnya dan satu lagi oleh bekas peguam negara, Mohamed Apandi Ali.

Kata Apandi, Sri Ram memberitahunya bahawa pemimpin pembangkang ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, mengarahkan beliau untuk menangkap Najib atas kesalahan yang tidak dinyatakan pada Januari 2018.

Najib juga merujuk kepada perbualan WhatsApp antara Sri Ram dan Apandi yang didakwa oleh pemohon (Najib) menunjukkan berat sebelah dalam menuntut Apandi untuk mendakwanya.

Beliau mendakwa, Sri Ram terlibat dalam siasatan berkaitan 1MDB oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyebabkan dia membuat penilaian awal atas kesalahan itu.

Ini merupakan percubaan ketiga oleh Najib untuk menggugurkan kelayakan Sri Ram daripada tugas pendakwaan dalam kes jenayah berkaitan 1MDB. Satu permohonan diajukan dalam kes 1MDB yang lain di hadapan hakim lain, manakala yang kedua adalah melalui prosiding sivil.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib sementara peguam Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

Najib, 67, dan bekas ketua eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, 45, sedang menjalani perbicaraan di hadapan Zaini atas tuduhan mengubah pinda audit 1MDB.

Ahli Parlimen Pekan itu dituduh menggunakan kedudukannnya untuk mengarahkan pindaan laporan audit akhir 1MDB sebelum dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen untuk mengelakkan tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda dituduh bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan tersebut untuk melindungi Najib daripada dikenakan tindakan.

Tiada ulasan: