HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

Potong gaji ADUN beli peranti elektronik bantu pelajar, cadang ahli PSB

Pelajar dalam golongan miskin bandar dan miskin luar bandar amat 
memerlukan peranti elektronik bagi tujuan PdPR, kata Aditajaya Abang 
Alwi. (Gambar Bernama)

KUCHING: Ahli Majlis Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB), Aditajaya Abang Alwi, mencadangkan gaji ADUN Sarawak dipotong tiga bulan untuk disalurkan bagi pembelian peranti elektronik kepada pelajar sekolah yang kini sedang mengikuti kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Beliau berkata, kerajaan negeri bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu lebih prihatin kepada nasib pelajar dalam golongan miskin bandar dan miskin luar bandar di Sarawak yang kini amat memerlukan peranti elektronik bagi tujuan PdPR.

“Kita tidak mahu anak-anak ini ketinggalan dalam pelajaran mereka hanya kerana tidak mampu membeli peranti elektronik sekali gus ia akan merugikan,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga pengerusi PSB Tanjung Manis berkata GPS seharusnya mengambil berat masalah pelajar ketika ini dengan memberi peranti elektronik kepada semua pelajar di Sarawak secara percuma menggunakan peruntukan kerajaan negeri.

“Dalam pengumuman Bantuan Khas Sarawakku Sayang 5.0 oleh ketua menteri (Abang Johari Openg) tempoh hari, tiada satu pun yang dikhususkan untuk pembelian peranti elektronik bagi pelajar sekolah di Sarawak.

“Terdapat hampir 1,000 permohonan dari seluruh Sarawak bukan hanya di Parlimen Tanjong Manis dan ada juga yang memohon terus kepada saya,” kata beliau.

Beliau berkata cadangannya itu bukannya untuk mencari salah sesiapa tetapi untuk sama-sama membantu pelajar di Sarawak dalam menjalani pembelajaran mereka dengan lebih baik dan teratur.

Bermula minggu lalu, Pusat Khidmat Rakyat PSB Tanjong Manis sudah mula mengagihkan bantuan peranti elektronik kepada pelajar yang memerlukan iaitu 100 unit tablet untuk pelajar Tingkatan Enam, 200 telefon pintar untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima dan 50 komputer riba untuk pelajar universiti.

Tiada ulasan: