HALAMAN SANTAI

Isnin, 15 Februari 2021

PRU-15 : UMNO yakin menang cukup kerusi, tetap tentang Bersatu – Khaled


KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, parti itu yakin akan memenangi cukup kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi membolehkan mengetuai pembentukan kerajaan.

Sehubungan itu, katanya, UMNO akan menentang Bersatu yang dipimpin oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di semua kerusi yang ditandingi oleh parti tersebut.

Dalam wawancara bersama Nikkei Asia, bekas Menteri Besar Johor itu berkata, UMNO dijangka memenangi kerusi majoriti pengundi Melayu – kelompok pengundi yang turut menjadi sasaran Bersatu.

Beliau berkata, sebarang perundingan mengenai pembentukan gabungan baru hanya akan dilakukan selepas pilihan raya.

‘’Kami akan berunding dengan parti yang mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan yang akan dibentuk,’’ katanya.

Khaled juga menegaskan, Bersatu hanyalah ancaman kecil kepada UMNO untuk memenangi undi orang Melayu memandangkan pengaruh dan sokongan akar umbi yang dimiliki oleh UMNO.

‘’UMNO bukan parti baru dan kami sudah mengharungi semua pilihan raya bersama pengundi yang setia di peringkat bawah,’’ katanya.

Beliau memberitahu, UMNO turut akan berhadapan dengan Bersatu di beberapa kerusi Parlimen yang sebelum ini dimenangi oleh ahli Parlimen berkenaan atas tiket UMNO.

‘’Kami sudah pasti akan bertanding di semua kerusi yang kami tandingi dalam pilihan raya umum lalu. Mereka yang melompat parti bukan lagi ahli kami, jadi kenapa perlu kami mempertimbangkan apa-apa untuk mereka,’’ katanya sambil menegaskan UMNO akan mendapat kelebihan memandangkan pakatan pembangkang tidak akan menyokong Bersatu.

Mengenai Pas, Naib Presiden UMNO itu berkata, kedua-dua parti sering mengadakan mesyuarat secara berkala dan telah mencapai kesepakatan tidak akan bertanding menentang antara satu sama lain bagi mengelakkan undi Melayu berpecah.

Bagaimanapun beliau mengakui, keadaan mungkin boleh berubah memandangkan Pas juga sudah menjadi salah satu anggota Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin oleh Muhyiddin.

Sememangnya hubungan Pas dengan PN dikatakan merumitkan kerjasama parti itu dengan UMNO yang dibentuk melalui Muafakat Nasional.

Bagaimanapun pemimpin-pemimpin Pas memberi jaminan bahawa kerjasama itu tetap akan diperkasakan namun akan tetap mempertahankan Kerajaan PN.

Tiada ulasan: