HALAMAN SANTAI

Khamis, 4 Februari 2021

Tommy Thomas tidak tahu apa-apa – Tun M

 Oleh OMAR ZIN

DR. MAHATHIR MOHAMAD

PETALING JAYA: Tun Dr. Mahathir Mohamad tampil membidas buku My Story: Justice in the Wilderness catatan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH), setahun yang lalu.

Beliau juga berkata, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah ditawarkan jawatan Perdana Menteri seperti yang didakwa Tommy.

“Tommy tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan saya. Menurut Tommy, saya beritahu kepadanya bahawa Agong mahukan Wan Azizah sebagai Perdana Menteri interim.

“Ini cerita karut. Selepas menerima dengan berat hati peletakan jawatan saya, Agong cadangkan saya sebagai Perdana Menteri interim. Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai Perdana Menteri sementara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak pernah menawarkan diri sebagai Perdana Menteri interim tetapi diminta oleh Agong sendiri.

“Agong tidak cadangkan nama lain, pastinya bukan Wan Azizah, Timbalan Perdana Menteri ketika ini. Saya tidak tawar diri tetapi tidak kena jika saya menolak cadangan Agong.

“Pada masa itu kerajaan PH telah jatuh rentetan pengumuman Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengeluarkan Bersatu dari PH di sebelah tengah hari. Wan Azizah sebagai timbalan tidak boleh ambil alih jawatan kerana PH bukan lagi kerajaan. Juga tidak ada satu pun ahli PH boleh ambil alih daripada saya,” katanya.

Justeru, Dr. Mahathir berkata, PH telah hilang majoriti dan Agong tidak boleh terus lantik Wan Azizah sebagai Perdana Menteri mahupun Perdana Menteri interim.

“Sebenarnya tidak ada peruntukan untuk Perdana Menteri interim. Saya terima jawatan itu kerana proses pemilihan oleh 222 ahli Parlimen mengambil masa yang lama. Negara perlukan ketua kerajaan sementara.

“Saya hairan bagaimana seorang peguam tidak faham yang ini bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Agong tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai pemangku Perdana Menteri. Sama seperti saya, dia juga tidak punyai majoriti apabila PH ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) dari PKR. Samalah juga dengan Kabinet,” katanya.

Dr. Mahathir juga mengakui beliau mahukan kerajaan perpaduan tetapi mendakwa majoriti ahli Parlimen hanya berminat dengan kepentingan peribadi.

“Sebagai Perdana Menteri interim tugas saya ialah untuk menubuh kerajaan. Ahli politik sibuk bercakap tentang kepentingan parti mereka, bukan tentang negara.

“Saya berpendapat kita perlu lupakan tentang parti dan fikir tentang negara. Oleh itu saya beritahu kepada semua ketua parti kita perlu ada kerajaan perpaduan dan lupakan agenda peribadi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: