Firdaus Azil
Atas
tindakan Ahli Parlimen Port Dickson itu, Dr Mahathir berkata, wakil
rakyat
PH tidak lagi mahu menamakan beliau sebagai Perdana Menteri. -
Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberitahu kesemua Ahli Parlimen
Pakatan Harapan (PH) bahawa beliau mampu mendapat sokongan Ahli-ahli
Parlimen Sabah dan Sarawak, seterusnya mendapat majoriti bagi membentuk
kerajaan, dakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dalam
catatan terbaharu di blognya hari ini, Ahli Parlimen Langkawi itu
berkata, atas tindakan Anwar itu, akhirnya Ahli-ahli Parlimen PH
mengambil keputusan untuk menamakan Ahli Parlimen Port Dickson itu
sebagai calon Perdana Menteri, dan bukan namanya lagi.
Dr
Mahathir berkata, perkara itu terjadi ketika Yang di-Pertuan Agong
Al-Sultan Abdullah meminta 222 ahli Parlimen menamakan Perdana Menteri
baru yang punyai sokongan majoriti ahli, melalui Akuan Bersumpah.
“Hakikatnya
dia (Anwar) hanya disokong DAP, Amanah dan kumpulannya dalam PKR.
Mereka berjumlah 92. Saya cuma mendapat 62 sokongan. Jadi kami berdua
kalah.
“Semasa
Tan Sri Muhyiddin dinamakan sebagai Perdana Menteri, dia tidak dapat
sokongan majoriti. Tetapi setelah dilantik dia tawar jawatan Kabinet
kepada ahli yang telah sokong saya. Mereka beralih sokongan dan
Muhyiddin mendapat lebihan dua majoriti,” katanya lagi.
Dr
Mahathir berkata demikian dalam catatan bertajuk “Tommy Thomas”,
sebagai respons kepada dakwaan bekas Peguam Negara itu bahawa beliau
punca Pakatan Harapan tumbang selepas hanya 22 bulan menerajui
Putrajaya.
Pada Januari lepas, portal
MalaysiaKini melaporkan Tommy sebagai berkata, Dr Mahathir campur tangan
dan berkeras ingin menjadi Perdana Menteri sementara selepas Al-Sultan
Abdullah mencadangkan Ahli Parlimen Pandan, Dr Wan Azizah menyandang
jawatan itu.
Selain itu, Tommy mendakwa
Dr Mahathir juga merupakan punca kejatuhan Kerajaan Pakatan Harapan (PH)
selepas hanya 22 bulan menerajui Putrajaya.
“Punca
utama kegagalan hubungan gabungan PH disebabkan pemimpinnya, Perdana
Menteri, Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad). Pemimpin PH
bertanggungjawab atas kegagalan ini,” katanya seperti dipetik dalam buku
memoirnya My Story: Justice In The Wilderness.
Mengulas
lanjut, Dr Mahathir terus konsisten mengatakan beliau telah meletak
jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia ketika itu
selepas parti itu hilang kepercayaan kepadanya.
Beliau
berkata, memandangkan Bersatu mengambil keputusan sendiri untuk keluar
daripada Pakatan Harapan, maka secara automatik pakatan itu sudah hilang
majoriti, menyebabkan mereka bukan lagi Kerajaan, dan beliau juga tidak
lagi menjadi Perdana Menteri.
“Ya.
Peletakan jawatan ini pendirian peribadi. Saya tidak hantar surat
peletakan Kabinet. Tetapi apabila Kerajaan PH tumbang, tidak ada alasan
untuk Kabinet kekal. Ia terbubar bersama Kerajaan.
“Saya
hairan bagaimana seorang peguam (seperti Tommy) tidak faham yang ini
bukanlah pertukaran Perdana Menteri. Kerajaan PH telah tumbang. Agong
tidak boleh lantik Wan Azizah, TPM sebagai Pemangku PM.
“Sama
seperti saya, dia (Wan Azizah) juga tidak punyai majoriti apabila PH
ditumbangkan oleh Bersatu yang keluar bersama kumpulan Azmin dari PKR
atau Parti Keadilan. Samalah juga dengan Kabinet,” jelasnya lagi.
Dr
Mahathir berkata, beliau pada ketika itu berpendapat, tugasnya sebagai
Perdana Menteri Interim ketika itu ialah segera menubuhkan Kerajaan,
yang pada hemat beliau perlu bersifat Kerajaan Perpaduan tanpa mengira
ideologi politik dan agenda peribadi.
“Tetapi
saya gagal kerana Kit Siang dakwa saya mahu jadi diktator. Dia sokong
Anwar sebagai calon PH. Jika 92 undi itu bersama saya, saya akan peroleh
154 undi.
“Bayangkan bagaimana hala tuju Negara jika kesemua parti meletakkan negara ini sebagai matlamat utama,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan