Nailah Huda
Takiyuddin
Hassan dalam sidang media hari ini memberitahu bahawa tiada
keperluan
untuk Parlimen bersidang dalam tempoh darurat. - Gambar
fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR:
Alasan-alasan yang diberikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk Parlimen
tidak bersidang dilihat remeh.
Demikian
tegas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam satu kenyataan hari ini
yang ditandatangani oleh Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir.
Mereka
berkata bahawa jumlah Ahli Parlimen yang terlibat dalam persidangan
hanya seramai 220 orang manakala pembukaan sekolah-sekolah dan
premis-premis perniagaan telah melibatkan jutaan orang.
“Kami
melihat bahawa ketiadaan persidangan Parlimen sehingga ke hari ini
adalah dengan jelas mencerminkan kebimbangan pihak kerajaan berkenaan
kelangsungan kuasa politiknya,” menurut kenyataan itu.
Selain
itu, mereka turut berpandangan bahawa kenyataan Takiyuddin yang
menyamakan pengisytiharan darurat pada 1969 dan darurat pada 2021 adalah
tidak tepat.
“Proklamasi darurat pada
tahun 1969 dibuat atas nasihat oleh seorang Perdana Menteri yang
memiliki kepercayaan majoriti Ahli-Ahli Dewan Rakyat pada ketika itu.
“Proklamasi
Darurat 1969 adalah lanjutan daripada rusuhan kaum dan bertujuan untuk
menyelamatkan negara dan bukannya jawatan seseorang Perdana Menteri,”
menurut kenyataan itu.
Mereka mendakwa
bahawa perintah ketika itu berbeza daripada Proklamasi Darurat 2021 yang
dilakukan atas nasihat seorang Perdana Menteri yang telah hilang
kepercayaan Ahli-Ahli Parlimen.
Hari ini, Takiyuddin dalam sidang media memberitahu bahawa tiada keperluan untuk Parlimen bersidang dalam tempoh darurat.
Beliau
berkata persidangan Parlimen akan diputuskan oleh Jemaah Kabinet
berdasarkan keadaan semasa dalam negara sebelum menasihati Yang
di-Pertuan Agong.
Istana Negara pada 24
Februari lalu menyatakan bahawa Parlimen boleh bersidang pada suatu
tarikh yang difikirkan sesuai oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat
Perdana Menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan