HALAMAN SANTAI

Isnin, 8 Mac 2021

Memahami dinamika UMNO dan Bersatu, apa pula peranan Pas?

Madiha Abdullah
Memahami dinamika UMNO dan Bersatu, apa pula peranan Pas?
Pendirian Umno yang seakan-akan bermain tarik tali mungkin berpunca daripada 
fraction atau kelompok terpisah yang bergerak dalam parti. - Gambar hiasan 
BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Dinamika hubungan antara UMNO dan Bersatu boleh dilihat berdasarkan grand design atau strategi, bukan atas dasar kesepakatan.
 
Pengarah dan Pengasas Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Ulung Datuk Shamsul Amri Baharuddin berpendapat, pendirian UMNO yang seakan-akan bermain tarik tali mungkin berpunca daripada fraction atau kelompok terpisah yang bergerak dalam parti.
 
"UMNO kahwin dengan Pas, UMNO kahwin dengan Bersatu, UMNO kahwin dengan Perikatan Nasional (PN). 'Poligami' UMNO luar biasa, menampakkan tentativeness atau kesementaraan dalam cara mereka berinteraksi dengan Bersatu.
 
"Kalau kita lihat reaksi Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkaitan surat Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beliau tidak terima atau tolak, tetapi ambil perhatian.
 
"Perkataan-perkataan ini yang kita kena perhatikan. Tak ada keputusan diambil, yang ada hanya pandangan atau pendirian dipertimbangkan," katanya dalam temu bual bersama Buletin AWANI.
 
Situasi ini berbeza dengan Bersatu yang nampak lebih kukuh ketika ini, biarpun kekuatan mereka dilihat bukan dari keanggotaan dalam Parlimen.
 
"Bukan soal loyalty, tetapi politik pragmatik yang dimainkan oleh UMNO. Saya rasa Bersatu sudah stabil, tidak seperti UMNO yang ada perpecahan dan kepentingan berbeza terutama antara kelompok yang dalam linkungan Bersatu akibat PN dan pelantikan GLC, Kabinet, satu lagi kelompok nak tunggu PRU (pilihan raya umum) dan satu lagi 'kalau saya diampunkan, saya sokong'.
 
"Ini yang membuatkan UMNO menghadapi masalah," ujarnya.

Biarpun begitu, penyatuan parti Melayu Islam antara UMNO, Bersatu dan Pas, masih mempunyai banyak masa untuk diperkemaskan, sebelum PRU15.
 
Pas ketika ini dilihat selesa dengan kedudukan mereka, menjadikan dinamik hubungannya dengan UMNO dan Bersatu sedikit berbeza.
 
"Tak pernah ada dalam sejarah Pas, kecuali ketika zaman Datuk Asri Muda, mereka jadi menteri Kabinet dan memegang portfolio penting.
 
"Dalam konteks ini, saya lihat Pas nak bagi pun tak mahu, nak juga simpan apa yang dia sudah peluk. Jadi mereka pun serba salah sebenarnya.
 
"Pas ada 18 kerusi dan saya tak rasa ia akan bertambah. Sangat penting untuk mereka bijak berkomunikasi dengan dua pihak yang bertentangan.
 
"Nak kata orang tengah pun tidak juga kerana mereka pun ada kepentingan tersendiri. Lihat sahaja di Kelantan dan Terengganu, adakah tolak ansur mereka dengan UMNO di negeri-negeri ini? Tak ada.
 
"Kerjasama antara mereka hanya terjadi di peringkat Persekutuan, sebab itu kena perhatikan juga pergolakan di peringkat negeri," katanya.

Tiada ulasan: