Abd Hadi Che Awang
Tegas
Tun Dr Mahathir, UMNO hanya dilihat boleh memutuskan kerjasama
dengan
Bersatu sekiranya membentuk satu kerjasama atau penjajaran baharu.
-
Gambar fail
LANGKAWI:
Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, kerajaan sedia ada tidak mampu
untuk kekal utuh sekiranya UMNO membuat keputusan untuk memutuskan
kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurut
beliau, kedua-dua parti itu memerlukan antara satu sama lain
memandangkan kerjasama membabitkan beberapa parti yang membentuk
kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini berada pada keadaan yang
goyah selepas tindakan beberapa Ahli Parlimen daripada UMNO menarik
sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kata
bekas Perdana Menteri itu, UMNO hanya dilihat boleh memutuskan
kerjasama dengan Bersatu sekiranya membentuk satu kerjasama atau
penjajaran baharu bersama pihak tertentu yang memungkinkan mereka
mempunyai majoriti yang cukup untuk mengambil alih pentadbiran negara.
"UMNO
tak bekerjasama dengan Bersatu, Bersatu akan jatuh… (apabila) Bersatu
jatuh, UMNO pun jatuh kerana dia pun bergantung kepada Bersatu seperti
Bersatu bergantung kepada dia.
“Dia
(UMNO) cuma boleh tarik diri dari Bersatu kalau dia ada kumpulan lain
yang bekerjasama dengan dia dan mempunyai cukup bilang untuk menubuhkan
kerajaan, tetapi setakat (ini) tak ada sesiapa yang cukup bilang boleh
bekerjasama dengan UMNO jadi UMNO ‘cakap saja’ bila mai undi dia
terpaksa sokong Bersatu kalau dia tidak mahu (sokong) jatuh," kata Ahli
Parlimen Langkawi itu lagi.
Beliau
berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima suntikan vaksin
COVDI-19 di Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Langkawi, di
sini pada Ahad.
Dalam
pada itu, Dr Mahathir menyifatkan gabungan PN, UMNO dan beberapa parti
lain yang kini berada di pihak kerajaan hanyalah satu bentuk kerjasama
yang tertumpu kepada persedian menghadapi pilihan raya semata-semata.
Tindakan
itu, jelas beliau, amat berbeza jika dibandingkan dengan kerjasama yang
dibentuk melalui Barisan Nasional dan Parti Perikatan sebelum ini yang
disifatkan beliau sebagai gabungan yang sebenar.
"Perikatan
Nasional gabungan baharu dan mereka nampak tak begitu bergabung dengan
kemas, ada pendapat yang berbeza antara mereka.
“UMNO
walaupun masuk Muafakat (Nasional) dengan Pas tapi tak masuk dengan
Perikatan Nasional, jadi mereka cuma buat perjanjian itu untuk pilihan
raya sahaja bukan satu gabungan yang sebenar seperti dulu kita ada
Barisan Basional kita ada Perikatan, itu betul-betul kerjasama, ini cuma
nak hadapi pilihan raya, nak cari kemenangan,” kata beliau lagi.
Pada
Jumaat, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan harapan
agar gabungan beberapa parti Melayu yang membentuk kerajaan PN terus
kekal dan utuh sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Bagaimanapun,
beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan parti lain yang tidak
menyertai PN terutama UMNO untuk membuat sebarang keputusan mengenai
kerjasama terbabit.
UMNO pula dilaporkan
telah menghantar surat kepada Muhyiddin pada 26 Februari lalu berhubung
keputusan Majlis Tertinggi parti itu untuk menamatkan kerjasama dengan
Bersatu dan PN menjelang PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan