HALAMAN SANTAI

Sabtu, 13 Mac 2021

Undi 18 mampu angkat martabat, standard sistem demokrasi negara - Penganalisis

Fauzi Suhaimi
Undi 18 mampu angkat martabat, standard sistem demokrasi negara - Penganalisis
Amerul berkata, kerajaan perlu menghargai penglibatan golongan muda 
khususnya dalam soal kepimpinan negara seperti mana yang diamalkan 
negara lain. - Gambar BERNAMA
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan Undi 18 pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke15 kerana ia mampu mengangkat martabat dan standard sistem demokrasi negara.
 
Penganalisis politik, Amerul Azry Abdul Aziz berpandangan, pendekatan itu dapat menyemarakkan lagi semangat anak muda untuk menceburkan diri dalam dunia politik selain berupaya melahirkan pemimpin masa depan. 
 
Beliau berkata, ia mampu memberi keyakinan kepada golongan muda untuk memandang serius perkara berkaitan politik termasuk menceburkan diri dalam dunia itu yang sebelum ini mungkin sering dianggap hak eksklusif golongan tertentu.
 
"Saya berpendapat, Undi 18 ini penting dan bermakna bagi mengangkat standard sistem demokrasi negara yang lebih tinggi memandangkan anak muda sebagai pelapis terbaik untuk menjadi pemimpin politik pada masa akan datang.
 
"Tambahan pula, kaedah ini mampu menyemarakkan lagi semangat anak muda untuk menyertai daftar pemilih pada umur seawal 18 tahun selain menarik minat golongan ini untuk terlibat dalam aktiviti di peringkat kerajaan, Parlimen dan seterusnya membuka peluang untuk menjadi calon pilihan raya bagi parti politik tertentu.
 
"Dengan cara ini, golongan muda dapat diyakinkan bahawa bidang politik adalah untuk semua dan bukan menjadi hak eksklusif kepada golongan tertentu sahaja," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
 
Terdahulu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kenyataan Speaker Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim berhubung Malaysia tidak bersedia untuk memberi kelayakan mengundi kepada rakyat berusia 18 tahun merupakan satu penipuan dan mencabul Perlembagaan Persekutuan.
 
Dalam pada itu, Amerul Azry berkata, kerajaan perlu menghargai penglibatan golongan muda khususnya dalam soal kepimpinan negara seperti mana yang diamalkan negara-negara lain.
 
Sehubungan itu, beliau turut menzahirkan rasa kecewa jika Undi 18 gagal dilaksanakan atas faktor tertentu.
 
"Jika Undi 18 tahun tidak dapat dilaksanakan atas faktor tertentu, saya amat kecewa, sedangkan mereka mampu mencorakkan pola politik baharu sekali gus menentukan landskap politik pada masa akan datang," ujarnya.

Tiada ulasan: