HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Julai 2021

Tun M kena kuarantin, pegawai positif varian Delta ketika ujian di Parlimen


Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan menjalani kuarantin kendiri selepas pegawainya disahkan positif varian Delta Covid-19 ketika menjalani ujian saringan di Parlimen 29 Julai 2021 lalu.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan menjalani kuarantin kendiri setelah menjadi kontak rapat kepada salah seorang pegawainya yang disahkan positif varian Delta Covid-19.

Varian Delta yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) mampu menular dengan pantas dan hanya mengambil masa 15 saat untuk menjangkiti seseorang individu yang tidak mematuhi prosedur operasi standard, terutama dari segi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Sumber memberitahu Agenda Daily pegawai Ahli Parlimen Langkawi itu telah menjalani dua ujian kendiri RTK Antigen (Ag) saliva, termasuk satu yang dilakukan di Parlimen pada 29 Julai lalu.

Pegawai berkenaan disahkan positif Covid-19 ketika membuat ujian pada pagi Khamis lalu di Parlimen setelah mengalami gejala batuk, kata sumber itu.

Susulan keputusannya yang positif, termasuk seorang lagi petugas yang disahkan dijangkiti virus itu yang telah hadir di Parlimen pada 26 Julai hingga 28 Julai, semua petugas dan Ahli Parlimen yang berada di dalam Dewan Rakyat pada hari berkenaan ‘dikurung’ bagi membolehkan ujian saringan dilakukan sehingga jam 8 malam.

Sebelum ini Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan siasatan mendapati kedua-dua kes itu tiada kaitan dengan mana-mana kes positif yang dikesan dalam saringan petugas-petugas Parlimen yang dijalankan tiga hari sebelum Mesyuarat Khas Parlimen bermula.

Kedua-dua kes ini juga negatif Covid-19 apabila saringan dilakukan ke atas mereka sebelum bertugas di Parlimen. Penilaian risiko berdasarkan maklumat siasatan awal serta sejarah pergerakan kes, didapati kedua-dua kes tersebut dikhuatiri telah berada di beberapa lokasi di sekitar Parlimen ketika tempoh Sidang Mesyuarat Khas Parlimen.

Sehubungan itu, KKM telah menasihatkan semua yang hadir dan berada di Parlimen bermula pada 26 Julai 2021 untuk menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit.

Hasil saringan di Parlimen pada Khamis, KKM mengesan 10 kes Covid-19. Seramai 1,183 individu menjalani ujian saringan pengesanan Covid-19 menggunakan ujian kendiri RTK Ag saliva test kit pada hari ini.

Terdahulu, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenal pasti 10 kes varian Delta yang menular di seluruh Malaysia pada 28 Julai lalu, menjadikan keseluruhan kes Covid-19 varian itu sebanyak 199 kes.

Varian ini telah mencetuskan gelombang yang semakin membimbangkan di dua negara jiran – Indonesia dan Thailand – sekarang ini.

Thailand semalam merekodkan 17,345 kes baharu Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan 117 kematian. Jumlah kematian di seluruh Thailand kini meningkat kepada 4,679 meningkat berbanding kira-kira 100 kes pada empat bulan lalu.

Pihak berkuasa Thailand melaporkan peningkatan kes itu disebabkan penularan varian Delta di seluruh wilayahnya.

Sementara Indonesia pula melaporkan Julai menjadi bulan malang buat negara itu apabila varian Delta telah melonjakan lagi jangkitan ke tahap tertinggi bagi kes positif dan kematian di republik itu sejak Covid-19 mula melanda dunia pada Mac tahun lalu.

Jurucakap Pasukan Petugas Nasional Covid-19 Indonesia, Wiku Adisasmito memaklumkan, dalam tempoh empat minggu sahaja Indonesia telah merekodkan 30,168 kematian berkaitan Covid-19 dan sepertiga daripada jumlah itu melibatkan kes pada bulan Julai.

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT           

Berita palsu, Malaysiakini tukar tajuk berita nafi Anwar jumpa Agong pula


Laporan berita palsu yang dimuat naik Malaysiakini sebelum dan selepas disunting.

Portal mesra pembangkang, Malaysiakini menukar tajuk berita palsu yang pada awalnya mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah mendapat perkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Dalam kemaskini laporan terkini, portal tersebut menukar tajuk berita “Sumber Istana Negara nafi beri perkenan untuk Anwar mengadap”, ia berbeza dengan laporan awal portal tersebut yang dimuat naik oleh pihak editorial.

Terdahulu dalam laporannya memetik sumber, Malaysiakini melaporkan beberapa sumber PKR mendakwa pihak istana sudah memberikan perkenan kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk mengadap pada pukul 2.30 petang hari ini.

Sumber PKR menurut laporan Malaysiakini tersebut turut mendakwa pertemuan itu dijangka berlangsung di Istana Abdul Aziz di Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, selepas beberapa jam laporan tersebut tular di media sosial, pihak editorial menukar laporan tersebut dengan memetik sumber juga dengan menafikan akan berlaku pertemuan tersebut.

Dalam laporan tersebut itu lagi, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, bagaimanapun dipetik berkata tidak mempunyai maklumat mengenai perkara itu yang dilaporkan Malaysiakini.

Himpunan baju hitam, pendedahan ‘kartel baharu PKR’ Rafizi terbukti benar


Kumpulan baju hitam pernah didedahkan oleh Rafizi Ramli sebelum ini yang muncul sebagai kartel baharu PKR.

Bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli yang pernah mendedahkan berhubung kewujudan kartel baharu baju hitam dalam PKR terbukti benar apabila muncul kembali dalam himpunan haram di ibu kota Kuala Lumpur hari ini.

Awal hari ini, sekumpulan peserta himpunan haram berbaju hitam berarak dengan mengabaikan bahaya ancaman Covid-19 ke Dataran Merdeka.

Rafizi sebelum ini terlibat dalam pergaduhan secara terbuka dengan Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial yang mencuri perhatian ramai.

“Saya secara terang-terangan menasihati Anwar agar tidak membiarkan benih kartel tumbuh lagi melalui geng baju hitam,” ciap Rafizi di Twitternya pada 17 Jun.

Pada Disember 2019, kumpulan berbaju hitam dikaitkan dalam pergaduhan dengan kumpulan baju biru semasa Kongres Pemuda PKR (AMK) di Melaka sehingga menimbulkan kekecohan yang besar.

Insiden hitam pergaduhan yang dicetuskan kumpulan berbaju hitam itu pastinya menjadi ingatan orang ramai.

Hari ini kumpulan baju hitam muncul lagi dengan mengadakan himpunan haram di ibu kota, mereka seakan kebal daripada virus Covid-19 kerana berjuang demi tokoh pemimpin disayangi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beberapa kelibat orang kuat Anwar dilihat bersama menyertai himpunan tersebut, antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Parlimen Anwar, Abd Malek Hussin yang berkongsi gambar masing-masing dalam akaun Facebook bersolidariti bersama kumpulan baju hitam hari ini.

Himpunan pada Sabtu disertai sekumpulan individu dengan membawa sepanduk mengkritik dan mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga membawa sepanduk yang senada dengan ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.

Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.

Mereka mula berkumpul sejak 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam.

Sebaik sahaja pukul 11 pagi, mereka mula berarak ke arah Dataran Merdeka.

Tiada sebarang tangkapan setakat ini oleh pihak berkuasa terhadap peserta himpunan tersebut.

Kenyataan Ismail Sabri, PN ada majoriti adalah tepat – Penganalisis

Muhammad Azizul Osman
MGF26072021_SIDANG-KHAS-PARLIMEN_11-1
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya mempunyai majoriti seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan mempunyai lebih 110 Ahli Parlimen.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sememangnya mempunyai majoriti seperti mana yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan mempunyai lebih 110 Ahli Parlimen.

Menurut Pensyarah Kanan Kolej Undang-Undang, Kerajaan Dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff, PN masih kerajaan yang sah dengan sokongan parti dalam dalam gabungan berkenaan.

“Ia dikukuhkan lagi dengan kenyataan Ismail bahawa 40 Ahli Parlimen UMNO-BN masih menyokong PN manakala PPBM 32, Pas 18 dan GPS 18 serta STAR satu, tiga bebas dan dua lagi dari Sabah, PN masih kerajaan yang sah.

“Rakyat juga saya rasa tidak mahu pertukaran kerajaan pada masa ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak perlu berundur sebagai Perdana Menteri seperti mana yang dimahukan pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu, Ismail Sabri berkata lebih 110 Ahli-ahli Parlimen masih memberi sokongan kepada kerajaan PN.

Ketua Whip Kerajaan itu yang mengesahkan perkara tersebut berharap rakyat bertenang di dalam menghadapi situasi terkini.

MGF11042017_IKSIM02-1
Dr Kamarul Zaman Yusoff

Dalam pada itu, Kamarul Zaman berkata, kepentingan negara harus diutamakan dengan tumpuan kerajaan semasa untuk menjalankan Pelan Pemulihan Negara bagi mengurangkan impak negatif akibat pandemik ini.

“Cubaan ahli-ahli Parlimen pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen juga tidak perlu dilayan dan sekadar membuktikan kerakusan mereka dengan agenda merebut kuasa.

“Sayang sekali bila ruang diberi untuk mereka memberikan cadangan bagi membantu memulihkan negara melalui Mesyuarat Khas Parlimen disiakan kerana obsesi mereka untuk menukar kerajaan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Himpunan Keluar dan #Lawan tak bertanggungjawab – Shahir

Mohd Zaini Samsu Hadi
Shahir Adnan
Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Himpunan ‘Keluar dan #Lawan’ anjuran Sektetariat Solidariti Rakyat (SSR) disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan melampau.

Ini kerana, perlakuan mereka umpama meremehkan usaha yang dilaksanakan oleh petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus dalam memastikan rantaian penularan Covid-19 dapat dihentikan, kata Ketua Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan.

“Benar bahawa demonstrasi dan perhimpunan adalah hak warganegara untuk memberikan pendapat dan pandangan mereka.

“Namun, setiap orang juga perlu bertanggungjawab ketika wabak Covid-19 melanda. Bayangkan kiranya tercetus Kluster Lawan ini dek kealpaan setiap individu yang turun ke jalanan hanya kerana terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

“Akibatnya, kes harian Covid-19 akan terus meningkat dan orang sekeliling mereka yang tidak berdosa mungkin menjadi mangsa daripada jangkitan wabak itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Shahir berkata, anak muda perlu bijak dalam membezakan yang mana permata dan yang mana kaca serta tidak ditipu berkali-kali dengan hasutan Pakatan Harapan.

Jelas beliau, sebelum menjadi kerajaan, mereka menaburkan pelbagai fitnah dan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Malaysia dan apabila menjadi kerajaan, segala janji tidak dilaksanakan kerana bukan kitab suci untuk dituruti.

Dengan memberikan contoh paling jelas, beliau berkata, satu juta peluang pekerjaan hanya janji kosong dam yang mendapat habuan adalah kroni mereka sendiri, NGO Youth Power Club melibatkan menteri Belia dan Sukan ketika itu, Syed Saddiq, dakwanya.

“DPIM bersama-sama kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional menyeru semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia.

“Ingatlah, taruhan percaturan politik pada waktu ini adalah nyawa-nyawa rakyat yang tidak berdosa. Berentaplah secara gentleman pada PRU-15 nanti,” katanya. – MalaysiaGazette

PN dapat sokongan empat ahli Parlimen pembangkang?

pn

KUALA LUMPUR – Pelbagai desas-desus mengenai masa hadapan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan akan jatuh selepas titah Seri Paduka Yang Dipertuan Agong semalam.

Rata-rata memberikan pandangan bahawa PN di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tidak membahaskan usul Ordinan Darurat di Parlimen sebagai ‘derhaka’ tidak lagi mempunyai sokongan majoriti.

Menurut sumber dalaman PN, perkara bubar Parlimen atau tukar kerajaan tidak akan berlaku dalam masa terdekat memandangkan kerajaan hari ini sudah mempunyai cukup sokongan termasuk daripada beberapa ahli Parlimen pembangkang.

“Jangan risau, PN masih stabil dan akan meneruskan pentadbiran seperti biasa.

“Apa yang berlaku semalam adalah perkara biasa dan PN telah membuat perkara betul, cuma pembangkang buat kerja mereka sebagai orang yang tidak bersetuju walaupun ia perkara betul,” menurut sumber kepada MalaysiaGazette.

Jelas sumber itu lagi, dengan kewibaan PN hari ini telah meyakinan ahli Parlimen pembangkang untuk bersama-sama kerajaan.

“Siapa mereka, biarlah rahsia… tapi yang pasti tidak ada apa yang berlaku dalam masa terdekat.

“Keyakinan terhadap PN juga semakin bertambah apabila memperoleh sokongan tambahan daripada ahli Parlimen pembangkang.

“PN semakin solid. Itu yang boleh saya katakan. Walaupun ada yang mohon pindah tempat duduk di Parlimen, tetapi sokongan terkini, saya jamin… sangat meyakinkan.

“Pindah tempat itu tidak langsung melemahkan PN malah kita dapat lebih daripada sokongan sedia ada,” jelasnya lagi.

Menurut sumber dalaman itu lagi, ketika ini PN hanya akan mengambil sikap berdiam diri dan akan menunggu sahaja apa yang akan berlaku pada hari Isnin hadapan ketika penerangan Ordinan Darurat di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Dewan Rakyat kecoh apabila isu pembatalan Ordinan Darurat yang tidak dibahaskan turut mendapat respons daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menerusi kenyataan media Istana Negara semalam, keputusan PN tidak membahaskan perkara tersebut telah mengelirukan ahli-ahli Dewan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula tampil menyatakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri telah diterima Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, namun tidak dapat dibahaskan pada hari sama berikutan sesi perbahasan terpaksa ditangguhkan beberapa kali selepas kenyataan Istana Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan memberi penerangan mengenai Ordinan Darurat pada isnin ini.

Apakah usul Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibahaskan pada hari berkenaan atau akan ada pertambahan hari untuk sidang khas Parlimen ini? – MalaysiaGazette

PM tangguh sidang parlimen Isnin ini kerana 'risiko Covid-19'

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Sidang khas parlimen yang seharusnya disambung Isnin ini ditangguhkan "ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak".

Perkara itu dimaklumkan melalui surat kepada ahli parlimen yang dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

"Pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) bahawa persidangan Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan rakyat pada Isnin, 2 Ogos 2021 ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan kelak.

"Pemakluman ini dibuat oleh Perdana Menteri selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peratusan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat," kata surat itu yang dilihat Malaysiakini.

Untuk rekod, Peraturan Mesyuarat 11 (3) memberi kuasa kepada Perdana Menteri untuk memanggil Parlimen lebih awal jika ada penangguhan, namun tiada disebutkan mengenai kuasa untuk penangguhan.

Namun, ada ketentuan khas yang disebut sebagai Aturan Mesyuarat 100, yang membolehkan Speaker memutuskan perkara yang tidak dirangkumkan secara jelas dalam peraturan sedia ada.

Surat itu juga menyatakan bahawa penangguhan itu selaras dengan cadangan Ketua Pengarah Kesihatan serta penilaian risiko semasa yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

"Kementerian Kesihatan berpendapat bahawa Parlimen Malaysia merupakan lokaliti berisiko untuk berlakunya penularan jangkitan Covid-19," kata surat itu.

 Sebanyak 11 kes Covid-19 telah dikesan di Parlimen pada hari Khamis.

Namun, pembantu Speaker Dewan Negara Rais Yatim menyatakan bahawa Dewan Negara akan mengeluarkan kenyataan bahawa sejak itu sejak itu terdapat lebih banyak kes yang dikesan.

Penangguhan terbaru ini hadir ketika kerajaan pusat dilihat berselisih dengan pihak Istana Negara berhubung pembatalan ordinan darurat.

Pada hari Khamis, Yang di Pertuan Agong memberi teguran terhadap kerajaan, menuduh menteri undang-undang Takiyuddin Hassan mengelirukan Dewan Rakyat dengan mengatakan bahawa ordinan darurat telah dibatalkan.

Agong bagaimanapun berkata baginda tidak pernah memberi perkenan kepada pembatalan itu dan menyatakan rasa dukacita kerana ia tidak dibentang dan dibahas di parlimen.

Pejabat Perdana Menteri kemudian mendakwa keputusan itu dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan menyorot bahawa Agong mesti mengikuti nasihat kabinet.

Presiden PKR Anwar Ibrahim menuduh kerajaan menggunakan Covid-19 sebagai helah untuk menghalang prosiding Parlimen.

MCA, MIC ikrar sokong Muhyiddin bersama parti-parti dalam PN

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

MCA dan MIC menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinet untuk terus memimpin negara dalam mendepani pandemik Covid-19.

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan ketua-ketua penerangan parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Sebagai jentera penerangan parti-parti dalam kerajaan, kami berikrar untuk terus membantu YAB Muhyiddin dan pucuk pimpinan semua parti menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan, terutama dalam menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat," kata mereka dalam kenyataan itu.

Bagi pihak MCA kenyataan itu ditandatangani oleh Pengerusi Biro Penerangannya, Chan Quin Er, manakala MIC ditandatangani oleh ketua penerangannya, V Gunalan.

Bagaimanapun Ketua Penerangan Umno Shahril Hamdan tiada dalam senarai mereka yang mengeluarkan kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu dikongsi oleh Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan dan turut menamakan ketua penerangan PAS, Star, Gerakan, PDP, PBS, SAPP, SUPP, PBB dan PRS.

Dalam kenyataan itu mereka menyeru seluruh lapisan masyarakat meneliti siri penjelasan yang diberikan oleh pihak kerajaan mengenai situasi terkini.

"Terlalu banyak pihak yang cuba menangguk di air keruh untuk kepentingan peribadi dan untuk menyelamatkan diri, termasuklah dengan sengaja mencipta berita-berita palsu dan mengeksploitasi situasi semasa melalui media sosial.

"Rakyat mesti peka dengan gerakerja yang tidak bertanggungjawab ini, dan sentiasa merujuk kepada sumber-sumber yang sahih untuk mengetahui situasi yang sebenar," kata mereka.

Melalui kenyataan itu juga mereka menjunjung kasih terhadap titah yang dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Yang di-Pertuan Agong pada hari Khamis lalu menzahirkan kekecewaan terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan kerana mengelirukan Dewan Rakyat dengan mendakwa bahawa Ordinan Darurat telah dibatalkan  walaupun tidak mendapat perkenan baginda.

Pejabat Perdana Menteri mempertahankan keputusan itu dengan mengatakan kerajaan telah bertindak mengikut Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Agong mesti mengikut nasihat kabinet.

Susulan itu surat yang dikatakan diutuskan Yang di-Pertuan Agong kepada Muhyiddin, tular di media sosial.

Malaysiakini bagaimanapun tidak dapat memastikan kesahihan surat berkenaan.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, memetik kenyataan rasmi Yang di-Pertuan Agong pada Khamis lalu bagi meminta Muhyiddin dan kabinet meletak jawatan dengan mendakwa mereka telah menghina institusi Diraja dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Mat Sabu, Dr Dzulkefly perlu diberikan Ivermectin bukan rakyat


Pemimpin blok pembangkang mendesak Kementerian Kesihatan menggunakan Ivermectin dalam merawat pesakit Covid-19.

Dua bekas menteri, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad wajar menawarkan diri mereka untuk diberikan ubat anti parasit, Ivermectin sebelum diberikan kepara rakyat bagi merawat Covid-19.

Isu Ivermectin dibangkitkan bekas Menteri Pertahanan (AMANAH-Kota Raja) yang disegani yang meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan penggunaannya bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa sebarang membuat kaji selidik berhubung keberkesanan ubat tersebut.

Lebih malang lagi, cadangan tersebut pula mendapat sokongan bekas Menteri Kesihatan yang seakan bersetuju dengan cadangan tersebut walhal beliau sebagai seorang pengamal perubatan sepatutnya sedar ubat tersebut digunakan kepada haiwan.

Cadangan kurang matang dan tanpa kajian mendalam tersebut dibuat blok pembangkang menimbulkan kemarahan ramai pengamal perubatan dan banyak doktor pakar yang sudah membantah langkah pemberian Ivermectin tersebut untuk merawat pesakit Covid-19.

Tidak dapat dibayangkan sekiranya blok pembangkang ini masih memerintah negara, sudah pastinya yang akan menjadi tikus makmal adalah rakyat yang berisiko tinggi akan terjejas kesihatan mereka yang sudah pun dijangkiti Covid-19.

Pemimpin AMANAH semalam memberikan cadangan tanpa hujah mahu pun kajian saintifik perubatan, mereka menggunakan hujah perubatan yang tidak diketahui dari planet mana.

Sikap tergesa-gesa blok pembangkang yang mahu menggunakan Ivermectin mencerminkan betapa rendah tahap pemikiran mereka, mengambil jalan mudah tanpa menghiraukan nyawa rakyat yang wajar diutamakan.

Jadi, tidak pelik sekiranya Dr Dzulkefly yang dikenali sebagai vokalis suka menjerit dalam Dewan Rakyat juga gagal dalam menguruskan krisis Covid-19 di negeri Selangor sehingga dianggap sebagai pusat penularan utama virus membunuh itu di Malaysia.

Pasukan khas yang dikepalai Dr Dzulkefly dengan peruntukan dari kerajaan negeri juga tidak mendatangkan sebarang manfaat atau membantu dalam menurunkan jangkitan Covid-19 di Selangor, sebaliknya setiap hari mencatatkan jumlah tertinggi kadar jangkitan berbanding negeri-negeri lain.

Yang dibanggakan oleh pasukan khas tersebut adalah kejayaan menjalankan ujian calitan Covid-19 yang banyak, tidak ada satu langkah proaktif atau strategi khusus diperkenalkan untuk menangani penularan Covid-19 dalam negeri yang dianggap sebagai paling maju jika dibandingkan dengan negeri lain.

Sebuah negeri yang maju tetapi jumlah jangkitan setiap hari naik, kononnya pakar-pakar dalam pasukan khas tersebut mempunyai idea dan pemikiran luar kotak untuk menyelesaikan krisis dihadapi, namun sebenarnya mereka gagal sama sekali.

Seorang doktor pakar di Pusat Pakar Perubatan Antarabangsa Hospital Beacon, Dr Raymond Tan Suan Kuo memberitahu kaedah menggunakan Ivermectin belum terbukti keberkesanannya, malah akan menolaknya walaupun diberi percuma.

Senarai Ahli Parlimen pembangkang yang mendesak Ivermectin digunakan adalah: Mohamad Sabu (Kota Raja), Khalid Samad (Shah Alam), R Sivarasa (Sungai Buloh), Johari Abdul Ghani (Sungai Petani), Sim Tze Tzin (Bayan Baru), William Leong (Selayang), dan P Prabakaran (Batu).

Sebagai seorang pemimpin pembangkang yang bertanggungjawab, lebih baik cadangan penggunaan Ivermectin ini perlu diuji terlebih dahulu ke atas Mat Sabu dan Dr Dzulkefly, ia sebagaimana yang dilakukan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjadi penerima vaksin pertama di Malaysia.

Oleh sedemikian, tidak salah juga untuk Mat Sabu dan Dr Dzulkefly juga perlu menawarkan diri mereka sebagai penerima pertama ubat kepada haiwan tersebut.

Beranikah Mat Sabu dan Dr Dzulkefly? Tidak perlu menjerit dalam Dewan Rakyat, buktikan dengan tindakan mencuba ubat Ivermectin itu.

Gandingan mantap ‘Kabinet Anwar’ yang bakal menyelamatkan negara


Impian Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan baharu semakin hampir menjadi kenyataan dan pemimpin utama Pakatan Harapan nampaknya semakin geli-geli untuk memegang tampuk pemerintahan sekali lagi.

Ketika ini, Anwar mungkin sudah merencana barisan Kabinet yang mantap ke arah untuk menyelamatkan negara dengan membariskan tokoh-tokoh yang disegani dalam blok pembangkang seperti Lim Guan Eng, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Selain itu, nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku anak murid Anwar yang setia dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku pelobi utama dalam menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pasti akan menjadi pertimbangan Presiden PKR tersebut.

Agenda Daily memberi gambaran awal ‘Kabinet Anwar’ yang akan dibentuk melibatkan pemimpin utama blok pembangkang termasuk Zahid dan Najib, gandingan mantap yang disebut-sebut bakal menyelamatkan negara dalam krisis pandemik ketika ini. 

Perdana Menteri, portfolio Menteri Kewangan – Anwar

Jawatan nombor satu yang selama ini menjadi idaman Anwar, ia mustahil akan diberikan kepada individu lain yang lebih layak selain Anwar dan dikatakan bakal mengekalkan portfolio lamanya semasa pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Menteri Kewangan.

Portfolio tersebut paling penting memandangkan Menteri Kewangan akan menguruskan segala urusan berkaitan keluar dan masuk wang kerajaan, ketika era pentadbiran Barisan Nasional (BN) umum mengetahui bagaimana Najib mengekalkan kuasanya semasa memegang portfolio tersebut.

Anwar pasti memilih untuk memegang portfolio tersebut bagi memastikan pengaruh dan kuasa berada dibawah telunjuknya.

Timbalan Perdana Menteri 1, portfolio Menteri Undang-Undang dan Parlimen – Zahid

Bagi membalas jasa dan tanda penghargaan kepada Zahid yang setia serta dilihat pencatur utama dalam menjatuhkan kerajaan PN, jawatan kedua tertinggi ini perlu diberikan kepada anak muridnya.

Walaupun umum mengetahui pelbagai skandal serta kontroversi salah guna kuasa terpalit dengan Presiden UMNO tersebut, tiada pilihan lain selain Anwar perlu melantik anak muridnya itu sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen.

Portofolio yang dijangka diberikan kepada Zahid pastinya berkaitan Undang-Undang dan Parlimen memandangkan ia dapat membantunya dalam mengendalikan kes-kes mahkamah yang sedang dihadapinya disamping dapat mengelak berdepan hukuman penjara sekiranya didapati bersalah.

Sebagai Menteri Undang-Undang dan Parlimen, Zahid akan dapat mengawal badan perundangan negara dan boleh menjadi ‘gate keeper’ atau penjaga kepada kerajaan Anwar sekiranya diserang atau dipersoalkan keabsahannya.

Timbalan Perdana Menteri 2, portfolio Menteri Ekonomi – Guan Eng

Anwar perlu memberikan jawatan kedua tertinggi kerajaan kepada Setiausaha Agung DAP tersebut ia memandangkan parti tersebut memiliki 42 Ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat, komposisi terbanyak dalam kerajaan yang bakal dibentuk oleh Anwar.

Ia perkara wajib dilakukan Anwar sekiranya mahu kekal mendapat sokongan DAP, tawaran jawatan tersebut akan mengekalkan kesetiaan parti tersebut kepada Anwar, malah Guan Eng juga mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kewangan sebelum ini semasa era pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain itu, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang mempunyai pengalaman dalam menarik pelaburan, ia terbukti dengan projek terowong yang berjaya menarik pelabur dari China ke negeri Pulau Pinang.

Cuma, projek tersebut tidak diteruskan dan sebaliknya Guan Eng kini sedang berdepan kes mahkamah berkaitan projek tersebut.

Menteri Senior, portfolio Menteri Pendidikan – Mat Sabu

Walaupun kurang menyerlah semasa menerajui Kementerian Pertahanan sebelum ini, Mat Sabu mungkin akan diangkat Anwar sebagai Menteri Pendidikan sebagai balasan terhadap kesetiaannya untuk kekal bersama dan sanggup meninggalkan Dr Mahathir yang kini tidak lagi memiliki sokongan AMANAH dan DAP.

Anwar yakin dengan kemampuan Mat Sabu untuk membawa era baharu dalam pendidikan negara semasa era pandemik, ia walaupun tidak habis belajar selepas dibuang daripada ITM.

Namun, kejayaannya dalam pentas politik tidak boleh dinafikan dan Mat Sabu pastinya dapat menaikkan motivasi para pelajar untuk mengikut jejaknya, gagal dalam pelajaran tidak semestinya gagal dalam hidup.

Paling tidak pun, kemungkinan ramai pelajar jurusan kulinari yang bertaraf dunia dapat dilahirkan memandangkan kehebatannya dalam bidang masakan. Pasti ramai mengetahui kehebatan kari Mat Sabu.

Cuma pesan Agenda Daily, Mat Sabu perlu mengelak ada skandal dengan pelajar sekolah kerana sebelum ini pernah tersebar klip audio seksi beliau dengan seorang wanita muda.

Menteri Senior, portfolio Menteri Pertahanan – Shafie Apdal

Anwar tidak boleh meminggirkan Presiden Warisan tersebut dalam barisan Kabinetnya jika mahu mendapatkan sokongan Ahli Parlimen dari Sabah dan jawatan Menteri Pertahanan perlu diberikan kepada Shafie.

Bekas Ketua Menteri Sabah tersebut juga memainkan peranan penting dalam menumbangkan kerajaan PN dan bagi memastikan kestabilan kerajaan, Anwar perlu memberi jawatan yang dianggap penting kepada Shafie.

Jawatan Menteri Pertahanan paling sesuai diberikan kepada Shafie memandangkan negara sedang berdepan isu pencerobohan perairan negara di Laut Cina Selatan dan sebagai seorang anak Bajau Laut, pastinya Shafie lebih memahami isu tersebut serta memahami cara untuk mengatasinya.

Dan terakhir, Penasihat Khas Perdana Menteri (PM) – Najib

Dalam memastikan sokongan berterusan dan ampuh terhadap Kabinetnya, peranan Najib tidak boleh dipandang ringan Anwar kerana tanpa sokongan bekas Presiden UMNO itu mustahil langkah menyingkirkan kerajaan PN berjaya direalisasikan.

Situasi kali ini berbeza dengan perjanjian yang pernah dimerterai Anwar dan Najib semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu yang orang tengahnya ketika itu adalah bekas Naib Presiden Indonesia Jusuf Kalla.

Mengapa kali ini berbeza, kali ini Najib memerlukan bantuan Anwar untuk menyelamatkan dirinya dan sama seperti Zahid juga, kedua-dua mereka tidak mahu hidup meringkuk dalam penjara.

Jalan terakhir yang Najib dan Zahid ada sekarang ini hanya bekerjasama dengan Anwar, tiada jalan lain lagi. Apa jadi sekali pun, kepentingan peribadi lebih penting sekarang.

Sebagai balasan, Anwar perlu meletak Najib pada kedudukan selamat atas bantuan yang diberikan dan Penasihat Khas adalah tawaran terbaik yang tidak akan ditolak.

Maka, terbentuklah Kabinet Anwar yang baharu. Tahniah………

DISYORKAN UNTUK ANDA:

  BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT           

Surat kedua YDPA Agong kepada kerajaan, apakah maksud sebenarnya? Raja Petra Kamarudin

 Raja Petra Kamarudin

Selepas kontroversi kenyataan semalam, nampaknya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong cuba memperbetulkan keadaan menerusi surat kedua yang tular dalam media sosial dan kali ini ia lebih bersifat peribadi bukan surat rasmi, yang boleh dibaca DISINI.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ejennya di Istana Negara – Dato ’Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja – sudah merencanakan kononnya “serangan maut” atau “pukulan maut”.

Strategi tersebut seakan cuba memperlihatkan seolah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional membelakangi Agong dan bertindak tanpa persetujuan Agong.

Dalam surat terkini atau yang kedua Agong sedang tular, Seri Paduka menjelaskan kronologi peristiwa. Semua tahu kronologi peristiwa tersebut, bahkan Perdana Menteri sudah menjelaskannya menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam. 

BACA SINI: KENYATAAN PEJABAT PERDANA MENTERI

Surat Kebawah Duli Yang Maha Mulia agak panjang dan berkemungkinan pembaca tidak dapat memahami maksud yang cuba disampaikan.

Oleh itu, saya cadangkan terus baca ke perenggan pertama di halaman empat kerana itulah intipati “dukacita” Yang di-Pertuan Agong, ia kemudiaannya dibangkitkan dalam surat pertama semalam yang dibacakan Anwar di Parlimen.

Apa yang diperkatakan pada perenggan pertama di halaman empat adalah, “Beta menitahkan agar cadangan pembatalan Ordinan-Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen sebelum ditandatangani oleh Beta.”

Semua sudah jelas disini. Surat empat halaman yang menjelaskan kronologi peristiwa tidak penting. Yang penting adalah kesimpulannya. Dan kesimpulannya adalah Yang di-Pertuan Agong menitahkan atau memerintahkan agar pembatalan Ordinan Darurat dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen sebelum menandatanganinya.

Itulah keseluruhan permasalahannya. Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai kuasa perlembagaan untuk menitahkan atau memutuskan perkara sedemikian. Adalah tidak berperlembagaan bagi Yang di-Pertuan Agong untuk menitah atau memutuskan perkara sedemikian.

Selain itu, ia bukan suatu masalah jika Yang di-Pertuan Agong enggan menandatangani pembatalan Ordinan Darurat. Mengikut pindaan perlembagaan 1994, tandatangan Agong tidak diperlukan.

Darurat atau tidak Darurat, Agong mesti mengambil nasihat Perdana Menteri. Darurat atau tiada Darurat, Agong tidak mempunyai kuasa budi bicara. Dan apa sahaja perintah atau perintah Agong tidak mengikat, dan Perdana Menteri tidak berkewajipan untuk tunduk kepada kehendak Agong.

Surat kedua ini yang menjelaskan urutan peristiwa tidak perlu dan tidak mengubah hakikat bahawa Agong mengambil bahagian dalam konspirasi untuk menjatuhkan pemerintah dan menggulingkan Perdana Menteri, Muhyiddin.

Mengapa Agong bertindak sedemikian, seperti yang dijelaskan dalam surat kedua ini, tidak relevan. Yang relevan adalah bahawa Agong bertindak di luar kuasanya, seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia. AGENDA DAILY

UMNO tarik sokongan kepada Muhyiddin tapi masih sokong Perikatan Nasional

Astro Awani
UMNO tarik sokongan kepada Muhyiddin tapi masih sokong Perikatan Nasional
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong pada Khamis, amat jelas Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka dengan apa berlaku sekarang. - Gambar fail/Astro AWANI
 
KUALA LUMPUR: UMNO menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin namun masih menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan.
 
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga ahli UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong pada Khamis, amat jelas Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah murka dengan apa berlaku sekarang.
 
“Parti kita UMNO dan saya sebagai seorang anggota parti setia pada parti, maka parti buat keputusan di mana parti tarik sokongan daripada Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, tetapi parti masih menyokong kerajaan masih Kerajan Perikatan Nasional.

Wanita PN sokong penuh Muhyiddin, junjung titah Agong

BH ONLINE
Foto hiasan BERNAMA
Foto hiasan BERNAMA

KUALA LUMPUR: Wanita Perikatan Nasional (Wanita PN) menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

Wanita PN dalam kenyataan malam ini memaklumkan perdana menteri telah memimpin negara dengan sehabis baik dalam suasana sangat mencabar ekoran pandemik COVID-19 dan bersifat taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

"Perdana Menteri telah menzahirkan titah Baginda agar diadakan Sidang Khas Parlimen yang sedang berlangsung, segala urusan telah diatur mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang niat untuk menyalahinya," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh; Ketua Wiranita STAR, Evelyn Gobile; Ketua Wanita SAPP Irene Chan Kam Lan dan Ketua Wanita Nasional GERAKAN, Janice Wong Oi Foon.

Wanita PN juga menegaskan kerajaan pimpinan Muhyiddin sentiasa menjunjung institusi Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan di negara ini.

Gabungan itu yakin bahawa prinsip itu menjadi pedoman kepada kerajaan yang tidak sekali-kali akan menderhaka kepada institusi Yang di-Pertuan Agong dalam kerangka perlembagaan negara.

"Kami juga menjunjung kasih di atas titah kenyataan Yang di-Pertuan Agong seperti yang dikeluarkan oleh Istana Negara semalam khasnya keprihatinan Seri Paduka terhadap kemaslahatan rakyat dan menyeru semua pihak bersama-sama berusaha mencari jalan penyelesaian," katanya.

Wanita PN turut menyeru semua pihak agar bersama-sama dengan perdana menteri dan kerajaan untuk kembali fokus kepada agenda utama yang paling mendesak iaitu memerangi pandemik COVID-19 serta memulihkan kehidupan rakyat. – BERNAMA

Lanjut sidang khas Parlimen bahas pembatalan Ordinan Darurat, gesa Ku Li

Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah berkata langkah itu juga dapat 
membetulkan semula keadaan susulan krisis berhubung pembatalan Ordinan 
Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah menggesa supaya sidang khas Dewan Rakyat dilanjutkan bagi membolehkan semua Ahli Parlimen membincangkan isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumum kerajaan, 26 Julai lalu.

Katanya, langkah itu juga dapat membetulkan semula keadaan susulan krisis berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong yang telah menyebabkan Sultan Abdullah dukacita.

“Walupun Agong beri pandangan kita bincang hal ini sebaik mungkin dan menentu sama ada boleh dilulus atau tidak pembatalannya (Ordinan Darurat), saya rasa elok perkara ini dilakukan semula,” katanya semasa sidang media di Facebooknya hari ini.

“Elok sidang Parlimen ini dilanjutkan dan beri peluang Ahli Parlimen suarakan pendapat rakyat, baik buruk ordinan yang dipakai sekarang.”

Beliau yang lebih mesra digelar Ku Li turut menganggap tindakan kerajaan mengumum penarikan balik pelaksanaan Ordinan Darurat sebelum dipersetujui Agong sebagai tindakan kurang cerdik seterusnya seluruh Jemaah Menteri termasuk dari Umno perlu bertanggungjawab.

“Pengumuman kerajaan itu satu pembohongan besar dan tidak cerdik melakukan perbuatan ini. Bukan saja Menteri Hal Ehwal Undang-undang (malah) seluruh Kabinet pimpinan perdana menteri bertanggungjawab,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan serta menyerahkan balik kuasa kepada Agong melantik pemimpin baharu.

“Saya rasa oleh kerana tak ada ketentuan dari kerajaan maka saya syor dengan kenyataan dibuat Istana Negara, Perdana Menteri, menteri letak jawatan dan undur dari pemerintahan negara, serah balik kuasa ini kepada Agong, biar Agong tentukan masa depan negara kita.

“Mungkin keadaan bertambah baik dan strategi baharu boleh diguna untuk lawan wabak Covid-19.

“Saya harap insaflah mereka yang ada dalam kerajaan supaya kita beri peluang bukan kepada yang memegang jawatan dalam Kabinet tetapi kepada rakyat ramai untuk menentu kehidupan lebih baik dan sempurna,” katanya.

Semalam Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong belum memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu menyebabkan Sultan Abdullah dukacita.

Merepek jika sidang Isnin batal kerana Covid-19, kata Tony Pua

Ahli Parlimen Damansara Tony Pua menyifatkan sebagai ‘merepek’ jika 
persidangan Isnin ini ditangguhkan kerana 11 kes jangkitan Covid-19.

PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menempelak ura-ura bahawa sidang Dewan Rakyat Isnin ini mungkin ditangguhkan selepas beberapa Ahli Parlimen dan pegawai disahkan positif jangkitan Covid-19.

Ahli Parlimen Damansara itu berkata hanya 11 daripada 1,183 sampel yang diambil telah sah positif virus itu, iaitu kurang 1% daripada keseluruhan ujian.

“Jika itu penanda aras untuk menutup Parlimen, nampaknya tiada langsung sidang lagi selepas ini.

“Merepeklah,” katanya dalam catatan di Facebook.

Tambahnya, saringan diadakan di Parlimen bertujuan mengasingkan kes positif bagi mengekang penularan virus.

Katanya, ini seterusnya membolehkan wakil rakyat melaksanakan tugasan mereka dengan normal, bukannya menghentikan sidang dengan kes kurang daripada 1%.

“Atau adakah ini sekadar alasan untuk melaksanakan pemerintahan diktator?” soalnya.

Terdahulu hari ini, sumber dipetik Malaysiakini berkata sidang khas itu mungkin tergendala akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan Ahli Parlimen.

Satu lagi sumber memaklumkan portal itu bahawa Kabinet akan menunggu daripada membuat keputusan sehingga menerima laporan Kementerian Kesihatan.

Pagi tadi Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata 11 kes positif Covid-19 dikenal pasti di Parlimen, semalam.

Ordinan Darurat: Anwar label pemimpin anggap isu teknikal ‘jahil’ perundangan, biadab

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik pihak yang mendakwa isu itu 
sekadar teknikal dan sengaja dibesarkan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin dari parti kerajaan yang menganggap krisis berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong sekadar isu teknikal dan tidak perlu diperbesar, sebagai biadab dan jahil undang-undang.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata, menganggap isu yang berlaku antara kerajaan dan Istana berhubung pembatalan Ordinan Darurat sebagai sekadar masalah teknikal jelas menunjukan mereka tidak menghormati Agong sebagai ketua negara.

“Beberapa pemimpin sebut ini soal teknikal, sengaja dibesarkan di Parlimen (oleh pembangkang), bukankah ini biadab?

“…Kalau ini umpama ketua kampung bagi pandangan kita boleh ulas, ini ketua utama negara beri saranan dan ulasan dan (ada pemimpin) kata ini masalah teknikal. Sama ada ia jahil tentang perundangan dan tidak hormati institusi Agong atau memang biadab sama sekali,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya.

Katanya, kenyataan Agong jelas mengatakan pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu belum diperkenan dan apa yang dilakukan kerajaan itu membelakangi Istana serta Perlembagaan.

Anwar turut mengulangi pendirian pembangkang supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinetnya meletak jawatan kerana membelakangi Agong dalam membuat keputusan.

Semalam Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong belum memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu, menyebabkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dukacita.

Agong, Raja-Raja Melayu perlu waspada pihak cuba perangkap institusi raja

 Iskandar Hasan Tan Abdullah

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.

Riuh seluruh negara bila Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin, mengeluarkan kenyataan terbuka yang:

(1) Menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Seri Paduka.

(2) Menzahirkan rasa amat dukacita Seri Paduka kerana apa yang telah diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan, menteri undang-undang, dan Idrus Harun, peguam negara, semasa majlis menghadap secara maya pada 24 Julai 2021 bahawa cadangan pembatalan semua ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan telah tidak dilaksanakan.

(3) Menegaskan bahawa kenyataan Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai 2021 adalah tidak tepat dan telah mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan terbuka ini dibuat di saat-saat ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya Ahli-Ahli Parlimen Sepang dan Puchong, Mohamed Hanipa Maidin dan Gobind Singh Deo, berusaha keras mahu merujukkan Takiyuddin Hassan ke jawatankuasa hak dan kebebasan Parlimen atas dakwaan bahawa beliau mengelirukan Parlimen.

Pendedahan Istana Negara berhubung keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan ordinan darurat yang membelakangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong ini juga segera disambut dengan meriahnya oleh ahli-ahli Parlimen daripada parti pembangkang, khususnya ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, sendiri yang terus sahaja mengemukakan satu usul hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun.

Ia juga disambut riang oleh ahli-ahli akademik tertentu yang sememangnya sudah tidak berpuas hati dengan kerajaan, termasuklah Dr Mohammad Agus Yusoff, yang dengan lantangnya menyebut “hari ini berlaku lagi krisis perlembagaan” dan “kerajaan ini perlu pergi” kerana “kerajaan ini telah melakukan pembohongan besar dan mengenepikan prinsip Perlembagaan serta tidak menghormati institusi diraja” dan “ini boleh dikira sebagai penderhakaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, terhadap Perlembagaan, memberi salah nyata palsu kepada Dewan Rakyat, mengelirukan Dewan Rakyat, dan membohongi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

Dengan sedih sekali, kesemua perkara ini menimbulkan tanda tanya di dalam minda sebahagian besar rakyat mengenai kedudukan tinggi dan neutral Yang di-Pertuan Agong selaku payung rakyat kerana perkembangan ini memberikan gambaran seolah-olah Seri Paduka, sama ada disedari atau tidak, telah terperangkap atau dipergunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berkepentingan.

Mengikut Perkara 145(2) Perlembagaan Persekutuan, penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong adalah peguam negara, oleh itu jika timbul indikasi bahawa Seri Paduka membelakangkan nasihat peguam negara dan menerima pakai nasihat orang-orang lain, dan Seri Paduka yang sepatutnya menerima nasihat pula bertindak memberi nasihat kepada pihak yang sepatutnya memberi nasihat maka sudah pastilah keadaan akan menjadi tunggang-terbalik.

Isu yang ada di hadapan kita sebenarnya sangat kecil sahaja, iaitu jemaah menteri pada 21 Julai telah memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri, perdana menteri telah pada 23 Julai mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri dan memohon limpah perkenan Seri Paduka ke atasnya.

Bila perkenan ini tidak diperolehi sehingga pada 26 Julai 2021 Takiyuddin Hassan, yang berdepan dengan desakan ahli-ahli Parlimen pembangkang supaya Dewan Rakyat mengungkaikan ordinan darurat yang telah dimasyhurkan oleh Seri Paduka telah mengumumkan bahawa kerajaan, iaitu jemaah menteri, telah membuat keputusan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat berkenaan.

Seperti yang dijelaskan oleh Pejabat Perdana Menteri juga, pengumuman Takiyuddin Hassan ini adalah suatu kenyataan fakta yang bertujuan memaklumkan kepada Dewan Rakyat keadaan sebenarnya secara telus.

Mungkin bahasa dan cara penyampaian yang digunakan oleh Takiyuddin Hassan tidak begitu jelas kerana beliau tidak memaklumkan sama bahawa pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan masih menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong, tetapi sebarang kedukacitaan ke atasnya boleh sahaja dizahirkan secara tertutup seperti lazimnya.

Adalah menjadi jangkaan semua pihak bahawa perkenan atau tidak perkenan ke atas pembatalan ordinan-ordinan darurat berkenaan boleh dibuat sebelum Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula pada 26 Julai, tetapi bila ia tidak muncul pastilah spekulasi akan timbul.

Sekiranya perkenan tidak diberikan pun, perkara ini tidak akan menjadi isu, apa lagi sehingga ke peringkat krisis perlembagaan, kerana bila Proklamasi Darurat berakhir pada 1 Ogos ordinan-ordinan darurat berkenaan akan terbatal dengan sendiri enam bulan dari tempoh itu.

Hanyasanya, pendedahan dan kritikan terbuka Istana Negara ini dilihat sebagai kurang bijaksana kerana menyebabkan situasi politik kembali menjadi hangat sehingga memerlukan Pejabat Perdana Menteri turut membuat kenyataan terbuka bagi menjelaskannya.

Sebab itulah Raja-Raja Melayu perlu sentiasa mengingati perisytiharan prinsip-prinsip Perlembagaan yang dibuat oleh baginda-baginda semua pada 4 Julai 1992 yang berbunyi “kita selaras dengan amalan Perlembagaan tidak seharusnya mendedah atau membincangkan dengan pihak media massa apa-apa perkara yang mungkin menimbulkan kontroversi mengenai hal ehwal pentadbiran negara/negeri.”

Dalam konteks inilah juga relevannya ingatan tokoh ulung negara, mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, dan penyandang kerusi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, Dr. Shamrahayu A. Aziz pada 20 Jun lalu supaya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap pihak yang tidak berpuas hati terhadap tindakan kerajaan yang cuba mengheret institusi ini untuk melakukan perkara di luar bidang kuasa baginda-baginda semua.

(*) Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah pensyarah kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Jumaat, 30 Julai 2021

Apa lagi helah Anwar, Pakatan Harapan dan jajaran baharu

Borhan Abu Samah

APABILA sidang Dewan Rakyat ditangguhkan kerana terdapat jangkitan Covid-19 di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, para pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan jajaran baharu UMNO berlumba-lumba mengeluarkan kenyataan mendesak Perdana Menteri meletakkan jawatan.

Selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa dukacita dengan perjalanan sidang parlimen masuk hari keempat ini, semua menuding jari ke arah Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan pimpinannya.

Tetapi mereka lupa, kekecohan parlimen adalah berpunca daripada mereka sendiri yang mahu menjatuhkan kerajaan dengan cara ikut tingkap iaitu mengundi tidak percaya kepada Muhyiddin dan kerajaan.

Sekecil-kecil perkara sekalipun mahu dijalankan undi, semata-mata mahu menunjukkan kerajaan sudah hilang sokongan majoriti.

Sedang janji mereka sebelum parlimen dibuka adalah:

1. Dapat ahli-ahli parlimen bahaskan isu-isu kelangsungan hidup dan kesengsaraan rakyat ketika berhadapan dengan pandemik Covid-19.

2. Sidang Parlimen untuk memastikan ia menjadi flatform untuk memastikan kerajaan ini terus menerus menyalurkan bantuan kepada rakyat yang susah dan memulihkan ekonomi.

3. PH berjanji tidak akan ada undi tidak percaya kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini, demi untuk stabilkan politik negara ketika berhadapan dengan krisis kesihatan ini.

Yang terjadi:

4. Semenjak hari pertama Persidangan Parlimen, MP-MP Pembangkang mencari helah bagaimana mahu menumbangkan kerajaan dan Muhyiddin dengan mencari pelbagai helah agar diadakan undian tidak percaya terhadap Perdana Menteri.

5. Soal Ordinan-Ordinan dan Proklamasi Darurat yang sememangnya mahu dibatalkan pada 1 Ogos ini, dijadikan isu menekan Muhyiddin meletakkan jawatan.

6. Yang di-Pertuan Agong sebagai seorang Raja Pemerintah Negara ini, diheret oleh Ketua Pembangkang itu, terlibat di dalam permainan politik caca merba.

7. Sepatutnya, Agong menjalankan tugas-tugas seorang Pemerintah Negara berpandukan nasihat daripada Memanda Perdana Menteri dan Kabinet, selaras dengan konsep Raja Berperlembagaan.

Bukannya terlibat secara langsung di dalam permainan politik dan perebutan kuasa yang berlaku antara dua parti politik negara.

Perkara kedua yang penting, segala perbincangan dan sembah nasihat dari Perdana Menteri kepada Agong seharusnya dijadikan Satu Kerahsiaan yang perlu disimpan bukannya untuk hebahan melalui Satu Kenyataan Media oleh Dato’ Pengelola Bijaya Diraja.

8. Sesungguhnya sekiranya perkara ini tidak diurus dengan baik dan berhemah, Agong sebagai Raja Pemerintah Negara ini, mengundang pelbagai persepsi tidak baik dalam kalangan rakyat. SM

Takiyuddin tawar diri letak jawatan?

Datuk Seri Takiyuddin Hassan difahamkan menawarkan diri bagi melepaskannya jawatannya sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

Ini susulan Yang di-Pertuan Agong Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita terhadap pengumuman Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu sedangkan baginda belum lagi memperkenankan pembatalan Ordinan Darurat.

Suara TV memetik sumber dalaman PAS, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung parti Islam itu memaklumkan hasrat tersebut kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang namun, beliau diminta merujuk perkara (lepas jawatan) itu kepada Perdana Menteri terlebih dahulu.

Dalam kenyataan Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan dukacita dengan kenyataan di Parlimen pada Isnin lalu, bahawa kerajaan sudah membatalkan semua Ordinan Darurat walhal ia belum lagi diperkenan Seri Paduka.

Yang di-Pertuan Agong juga amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan tidak dilaksanakan.

Sekarang ini sidang Dewan Rakyat ditangguh manakala kediaman rasmi Muhyiddin dikunjungi barisan menteri termasuk Peguam Negara

DISYORKAN UNTUK ANDA:

 BERITA PELBAGAI TOPIK SEMASA DALAM ' DIALOG RAKYAT           

Pembangkang jadikan sidang parlimen medan lepas geram

HARAKAH DAILY

TUMPAT: Persidangan khas Dewan Rakyat yang bermula Isnin lepas dianggap tidak dimanfaatkan sepenuhnya ahli-ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya dijadikan medan untuk melepaskan geram.

Menteri Besar Kelantan Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, persidangan khas Parlimen diadakan antaranya untuk menyelesaikan isu berkaitan pandemik Covid-19.

Sebaliknya kata beliau persidangan itu menjadi medan untuk mempromosi agenda peribadi pemimpin tertentu berbanding membincangan isu kesihatan dan ekonomi negara.

“Sepatutnya lima hari ini (sidang khas) itu kita ambil peluang bersama-sama untuk memberi pandangan bagaimana cara untuk menyelesaikan masalah Covid-19.

“Kerajaan memerlukan pandangan daripada wakil-wakil rakyat,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sijil penghargaan dan cenderahati kepada 122 pelajar cemerlang di perkarangan Pusat Khidmat Dun Pasir Pekan dekat sini, hari ini.

Pelajar terbabit cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Persidangan khas parlimen yang bermula Isnin lepas termasuk membincangkan berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN), wabak Covid-19 dan vaksinasi.

Bagaimaapun pembangkang menggunakaan medan persidangan tersebut bagi mencapai impian politik termasuk desakan supaya diadakan usul tidak percaya terhadap perdana menteri.

Ustaz Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, apa yang berlaku di parlimen wakil rakyat pembangkang tidak mengambil kesempatan berbincang cara-cara menangani Covid-19.

“Kalau diambil kira situasi itu seakan menggambarkan pembangkang gagal memberi cadangan menarik selepas kerajaan dilihat berjaya menanganinya.

“Walau dari segi bilangan kumulatifnya (jangkitan) satu juta, tetapi yang sembuh sudah lebih 800,000 orang,” katanya. HARAKAHDAILY

Kerajaan PN dicabar kerana dominasi umat Islam

  KHAIRULANUAR YAHAYA

PENGUASAAN kerajaan Perikatan Nasional yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar kerana ia didominasi umat Islam.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tentangan tersebut berlaku kerana penguasaan oleh kumpulan tidak ekstrem dalam PN dibimbangi akan menyelesaikan banyak masalah dan akan membina semula kekuatan umat Islam.

Justeru, menurut Abdul Hadi, sudah pasti akan wujud gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara.

“Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara.

“Pada masa yang sama, hendaklah bersiap-sedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara yang disebutkan di atas, gagal dibawa masuk ke negara kita.

“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran. Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya.

Abdul Hadi menjadikan politik Tunisia yang kini sedang bergolak sebagai contoh bagaimana hanya kerajaan Islam sekular sahaja yang diizinkan wujud.

Malah kerajaan Islam Turki juga hampir ditumbangkan dalam satu rampasan kuasa oleh pihak yang tidak mahu melihat Islam bangkit.

“Umat Islam yang mengalami masalah yang sama ketika zaman penjajahan dan negara-negaranya yang mengekalkan konsep tersebut, terus tidak bangkit untuk menjadi negara yang maju dan kuat.

“Sebenarnya itulah bentuk penjajahan baharu dengan pendekatan baharu yang dilaksanakan, sekadar untuk menyekat penentangan umat Islam terhadap penjajah asing yang telah ditukar dengan penjajah tempatan yang dibentuk oleh mereka,” kata Abdul Hadi.

Di Malaysia, menurut Abdul Hadi kesedaran baru telah muncul apabila dalam Pilihan Raya Umum ke-14 sebuah kerajaan sekular yang didominasi oleh kalangan bukan Islam telah ditubuhkan.

Beliau mendakwa, kumpulan Islam dalam kerajaan tersebut tidak lebih daripada sekadar menjadi khadam.

“Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu.

“Walaupun begitu, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan bumiputera (UMNO, PAS dan BERSATU) di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem.

“Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional (PN) kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.

“Bahkan ternyata kelemahan Pakatan Harapan (PH) ketika memerintah dalam masa yang singkat bersama kemenangan yang rapuh dan penuh dengan penipuan,” katanya.

Abdul Hadi, pihak berkenaan akan menghalang sebarang usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuk di Malaysia. -SM

Rakyat muak gelagat pembangkang di Parlimen

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
 

KANGAR: Mesyuarat Khas Parlimen yang berlansung bermula Isnin lepas memperlihatkan kematangan Ahli Parlimen Kerajaan Perikatan Nasional (PN) berbahas biarpun berdepan provokasi pembangkang.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata sepatutnya ahli parlimen pembangkang menggunakan kesempatan bersidang dengan memberi idea menangani wabak Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.

“Mereka sepatutnya memberi tumpuan kepada dua isu penting negara iaitu Covid-19 dan masalah ekonomi.

“Hentikan pembaziran waktu dengan membawa agenda politik peribadi serta parti masing-masing,” katanya.

Menurutnya pembangkang nampak beria-ia meminta pihak kerajaan mengadakan persidangan parlimen, namun setelah bersidang mereka tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebaiknya.

“Sebaliknya ahli Parlimen kerajaan yang berusaha bersungguh-sungguh memberi idea khususnya membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam menghadapi wabak sekarang.

“Sebaliknya pembangkang pula menuntut persidangan parlimen dipanjangkan dan mahu membuat undian terhadap ordinan darurat. Apa sebenarnya mereka mahukan,” katanya.

Oleh itu, beliau berharap semua Ahli Parlimen bersidang dengan penuh adab dan profesional, bukannya buat kecoh sehingga dicemuh rakyat.

Menurutnya fokus utama menangani Covid-19 dan pelan pemulihan negara yang dibincang pada persidangan khas tersebut.

“Rakyat sedang memerhati gelagat pemimpin, jangan sampai mereka muak dan jemu dengan sikap segelintir ahli parlimen sehingga menyebabkan seluruh ahli parlimen lain terpalit sama.

“Jika sikap ini diteruskan, rakyat akhirnya akan merasakan politik hanya medan untuk membawa agenda peribadi dan parti bukannya untuk membela rakyat,” ujarnya. HARAKAHDAILY

Ada yang tidak sabar kejar kuasa politik

HARAKAH DAILY

LAGAK sesetengah ahli parlimen pada persidangan khas sejak Isnin lepas memperlihatkan mereka seperti tidak sabar mengejar kuasa politik.

Situasi itu boleh dilihat sesiapa sahaja yang mengikuti siaran langsung persidangan tersebut sama ada melalui media rasmi kerajaan atau laman sosial.

Bagi pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris Dr Zulkeflee Yaacob sepanjang empat hari persidangan khas berlangsung sehingga semalam, ia tidak memperlihatkan kematangan ahli-ahli parlimen.

Adegan hiruk pikuk dengan menjerit-jerit berlaku seolah-olah parlimen tiada peraturan.

“Sebagai rakyat tentunya ramai malu dengan apa yang berlaku itu seolah-olah memperlihatkan sesetengah ahli parlimen kita hilang kematangan,” katanya.

Pada persidangan khas yang bermula Isnin lepas pembangkang seperti mempunyai agenda dengan mencari peluang untuk mengemukakan usul terhadap perdana menteri.

Sedangkan persidangan khas parlimen diadakan bagi membincangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi membantu negara keluar daripada wabak Covid-19 yang berlaku sekarang.

Malah semalam Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mahu mengemukakan usul hilang kepercayaan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia susulan isu pembatalan Ordinan Darurat yang dilaksanakan kerajaan.

Sedangkan sebelum ini pembangkang asyik mendesak kerajaan membatalkan Ordinan Darurat bagi membolehkan persidangan parlimen diadakan.

Namun setelah kerajaan membatalkan ordinan tersebut pembangkang pula menyifatkan cara pembatalan tersebut tidak betul. Hujah itu ada pro dan kontra dalam aspek tafsiran undang-undang.

Dr Zulkeflee berhujah, dalam situasi sekarang kerajaan Perikatan Nasional (PN) wajar dipertahan kerana terbukti kesungguhan menangani wabak.

Beliau juga bimbang jajaran baru yang diimpi sesetengah pihak boleh mengulangi kemelut lama ketika era Pakatan Harapan (PH). Hak orang Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu menjadi mainan pihak tertentu.

Bgaimanapun pensyarah kanan Sains Politik UiTM Raub Dr Che Hamdan Mohd Razali menjelaskan rakyat memerlukan sebuah kerajaan yang ada legitimasi.

“Walaupun penyelesaian terbaik adalah pilihan raya namun situasi sekarang tidak mengizinkan. Kalau betul kerajaan PN tidak mendapat majoriti maka ia perlu dibuktikan.

“Itu prinsip asas. Cuma penentuan terhadap pihak mana yang majoriti diharapkan menggunakan proses yang selari dengan demokrasi.

“Bagi saya kerajaan campuran dan perdana menteri interim bukan satu keperluan dan penyelesaian kepada polemik yang berlaku sekarang,” ujarnya.

Malah baginya kerajaan PN perlu meyakinkan rakyat bahawa mereka bertindak selari dengan perlembagaan.

Dr Che Hamdan juga berkongsi pandangan pemulihan PN mungkin boleh melibatkan rombakan kabinet atau tidak menjadi kesalahan untuk memohon maaf atas apa yang berlaku.

Di sebaliknya isu yang berlaku sekarang saintis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid pula hairan kecederungan rakyat Malaysia masih berminat pemimpin yang terpalit isu rasuah.

“Kita perlu tanya kenapa perkara ini berlaku dalam masyarakat di mana kita tetap memuliakan tokoh seperti itu,” ujarnya.

Oleh itu beliau mengajak rakyat bersungguh-sungguh mengamati tingkah laku pemimpin dengan mengambil iktibar peristiwa kejatuhan empayar Melaka akibat korupsi.HARAKAHDAILY

Syor tempoh bertenang 60 hari hadapi kemelut politik

FOTO hiasan. - Foto BERNAMA
FOTO hiasan. - Foto BERNAMA

MELAKA: Tanggungjawab sebagai pemimpin politik dan negara tidak boleh terlepas daripada mengambil berat soal kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhan walaupun memperjuangkan ideologi politik berbeza.

Sehubungan itu, tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, menyarankan UMNO terus kekal bergabung dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kesejahteraan rakyat, sekali gus dapat membantu negara terus maju.

PROF Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah. - Foto ARKIB NSTP
PROF Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu 
Shah. - Foto ARKIB NSTP

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Minda merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata menerusi sokongan itu juga, negara akan dapat diurus tadbir dengan baik hasil gabungan tenaga serta buah fikiran pemimpin lama dan baharu dalam kerajaan.

"Rententan isu terbaharu dan keadaan politik negara semakin `panas', perbalahan dan pergolakan politik semakin ketara akhir-akhir ini, ditambah peningkatan kes COVID-19 serta kemerosotan ekonomi, Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan `tempoh bertenang' dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Meskipun kita tidak boleh meletakkan kesalahan ini pada bahu Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata, jika berlaku sesuatu di luar dugaan seperti terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri, pilihan terbaik ialah memilih Ahli Parlimen UMNO melalui kerajaan PN sebagai pengganti.

"Ini kerana pemerintahan Barisan Nasional (BN) melalui pemimpin UMNO terdahulu sudah terbukti membawa banyak kejayaan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menyarankan tempoh bertenang 60 hari untuk membolehkan Ahli Parlimen menenangkan fikiran serta bermuhasabah berikutan keadaan semakin `panas' dan akan kian parah jika ada usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin yang mungkin mendapat sokongan ahli Dewan.

"Tempoh bertenang dilihat pilihan terbaik buat masa ini kerana jika mereka `gopoh' dengan usaha memilih Perdana Menteri baharu, saya khuatir situasi sama bakal berulang kerana kerajaan pada hari ini masih belum dapat membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.

"Walaupun akan ada beberapa pihak tidak selesa dengan keputusan itu, usaha ini harus dilakukan demi kestabilan negara pada hari ini. Semua Ahli Parlimen disarankan pulang ke kawasan masing-masing membantu rakyat pada waktu yang sukar ini," katanya.

Katanya, sebelum melantik Perdana Menteri baharu dalam tempoh bertenang, Seri Paduka boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecemasan Negara dianggotai individu berkecuali seperti bekas ketua hakim, bekas Ketua Polis Negara, bekas panglima tentera, Ketua Setiausaha Negara serta penjawat awam kanan, pakar kesihatan, ekonomi dan keselamatan.

"Jawatankuasa ini mampu menyusun strategi dan dasar kerajaan, memulihkan kembali ekonomi negara serta menyelesaikan masalah politik yang berlaku pada hari ini termasuk peningkatan kes COVID-19.

"Jawatankuasa ini hanya bertindak dalam tempoh 60 hari sebelum pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya menambah, dalam tempoh bertenang, baginda berhak meneliti semula keupayaan kerajaan semasa dan berhak memutuskan apa yang dirasakan perlu.

Katanya, selepas tempoh bertenang 60 hari, semua Ahli Parlimen akan dititah untuk mengadap Seri Paduka bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri baharu, seterusnya menyusun barisan anggota Kabinet seperti amalan biasa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita amat bersyukur jika pelantikan Perdana Menteri baharu itu terdiri daripada Ahli Parlimen yang mampu memperoleh lebih 112 sokongan, bahkan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat. Jumlah sokongan ini amat penting bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan kerajaan.

"Namun, jika sekiranya masalah pergolakan politik dan perebutan kuasa masih juga berterusan, saya mencadangkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) secara total ditubuhkan oleh Yang di-Pertua Agong," katanya.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan ordinan itu dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

ARMADA BERSATU sokong kepemimpinan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU menyatakan sokongan penuh terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sayap Pemuda itu turut menyatakan komitmen menyokong keputusan yang ditetapkan oleh Kabinet termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yakin sokongan lebih 110 Ahli Parlimen kepada kerajaan akan menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, sokongan itu juga penting dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjayakan Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) serta pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"ARMADA BERSATU akan terus berdiri teguh bersama Perdana Menteri dan menyatakan komitmen menyokong keputusan yang ditetapkan oleh Kabinet, termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

"ARMADA BERSATU ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen daripada Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan empat Ahli Parlimen Bebas yang menzahirkan sokongan berterusan kepada Perdana Menteri.

"Kami menyeru agar semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia secara amnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pendirian ARMADA BERSATU itu susulan kenyataan Istana Negara semalam, yang menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pengumuman kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana perkara yang dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam, menjelaskan semua tindakan dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri maklum seperti yang dizahirkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Wan Ahmad Fayhsal berkata, ARMADA BERSATU menjunjung kasih ke atas titah pandangan dan keprihatinan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong semalam.

"Kami sentiasa mengambil pendirian yang tegas dalam mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan sentiasa mendokong keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Dalam kerajaan PH dahulu ada hamba dan syaitan bisu: Hadi

AGENDA DAILY

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata pengaruh asing khususnya Barat berselidung di sebalik gerakan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, walaupun penjajah telah pulang ke negara masing-masing tetapi masih terdapat ejen-ejen mereka yang sanggup melakukan tindakan sedemikian.

“Walaupun penjajah asing itu sudah pulang ke negeri masing-masing, tetapi agenda penjajahannya masih tetap berlangsung hingga hari ini. Pengaruh dalam lapangan politik, ekonomi dan budaya yang ditinggalkan, diteruskan pergantungannya dengan bekas penjajah masing-masing.

“Kini, kita menyaksikan kebangkitan semula Islam dan merudumnya kekuatan negara besar penjajah. Namun begitu, mereka tetap menghalang segala usaha untuk kembali semula kepada Islam yang sedang diperjuangkan di seluruh negara umat Islam termasuklah di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

n Marang itu berkata penubuhan kerajaan sekular Pakatan Harapan (PH) yang didominasi kalangan bukan Islam dan ekstrem selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu telah mencetuskan kesedaran ramai.

Tanpa menyatakan pihak yang terlibat, tetapi Agenda Daily percaya ia dirujuk kepada AMANAH dan individu Islam dalam DAP, Abdul Hadi berkata ada kumpulan Islam yang terpengaruh dengan kerajaan PH, tetapi sekadar menjadi hamba sahaja.

“Mereka ikut serta bersuara melindungi perancangan kerajaannya yang secara halus melumpuhkan Islam dan umatnya, supaya terus berada dalam kelekaan atau menjadi syaitan bisu,” katanya.

Beliau berkata kejayaan menubuhkan kerajaan campuran PN yang didominasi umat Islam bagi menyelamatkan rakyat dan negara berdepan dengan cabaran apabila ada agenda untuk menjatuhkannya.

“Kita bersyukur kepada Allah SWT kerana telah berjaya menyatukan parti-parti umat Islam dan Bumiputera di samping parti-parti bukan Islam yang menolak pendekatan ekstrem. Sehingga akhirnya berjaya menubuhkan kerajaan campuran Perikatan Nasional kerana menyedari pendekatan ekstrem tidak akan mampu menyelamatkan negara dan rakyat.

“Justeru, penguasaan kerajaan PN yang menunjukkan perubahan positif akan dicabar, kerana dominasi umat Islam dan kalangan yang tidak ekstrem itu dibimbangi dapat menyelesaikan banyak masalah yang akan membina semula kekuatan umat.

“Maka, sudah pasti wujudnya gerakan untuk menjatuhkan kerajaan PN dengan segala cara. Oleh itu, seluruh rakyat yang sedar dan insaf terutamanya para pemimpin negara, janganlah ditipu lagi dan hendaklah menghalang anasir-anasir perosak yang berpakat untuk menyingkirkan Islam dalam negara,” katanya.

Pada masa yang sama, Abdul Hadi yang juga Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah mengingatkan rakyat perlu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan supaya rancangan yang sedang berlangsung di beberapa negara lain, gagal dibawa masuk ke negara kita.

“Apatah lagi adanya ejen-ejen yang bersedia melakukannya dan tidak seharusnya masih dibiarkan berkeliaran. Kalau dahulu ditipu oleh penjajah British, janganlah pula hari ini berulang ditipu sehingga berkali-kali,” katanya

Anwar dan anak muridnya memang tak layak jadi PM, kata pakar


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak muridnya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Blok pembangkang tidak perlu mengadakan mesyuarat baharu untuk memilih calon Perdana Menteri (PM) selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, jika UMNO bersetuju duduk di bawah ‘khemah besar’ bersama Pakatan Harapan (PH).

Ini kerana pemerhati politik melihat Anwar dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi anak muridnya, tidak layak menjadi PM Malaysia.

Menurut mereka pertukaran pucuk pimpinan negara tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan rakyat sedang berdepan pandemik Covid-19 yang tidak pernah dirasai mana-mana pemimpin dunia pun sebelum ini. Lagi pula tiada pemimpin lain yang layak untuk menghadapi keadaan pandemik itu sekarang.

Sebelum ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi kenyataan PH perlu bermesyuarat semula jika mahu memilih calon lain sebagai PM. Kenyataan itu timbul setelah wujud spekulasi mengatakan Zahid memberitahu Majlis Tertinggi (MT) bahawa UMNO akan diberi jawatan PM sekiranya membentuk kerajaan baharu bersama PH.

Mengulas gesaan PM Malaysia ditukar, pakar geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Azmi Hassan melihat tidak ada pemimpin lain sekarang ini yang mampu mentadbir negara selain Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berpendapat menukar Muhyiddin dengan orang lain bukan jalan penyelesaian yang terbaik untuk menstabilkan politik negara kerana tiada calon PM di kalangan mana-mana parti politik sekarang.

“Malah, Pakatan Harapan pun tidak seutuh yang disangka untuk membentuk kerajaan baharu sekalipun memilih Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon.

“Cara yang boleh diambil untuk menstabilkan situasi politik negara sekarang adalah mengekalkan status quo kerajaan sedia ada dan Muhyiddin terus menjadi Perdana Menteri dan sokongan diberi kepada semua pihak termasuk pembangkang.

“Kedua, seseorang boleh dilantik untuk mengurus negara tetapi dengan syarat tidak berkait dengan unsur politik. Memang peranan Perdana Menteri itu penting dalam memberi arah tuju negara, tetapi, kalau Perdana Menteri sendiri terumbang-ambing, maka semua pihak akan terkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pandangan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berhubung penyelesaian krisis politik untuk mewujudkan kerajaan stabil dengan mengekalkan pentadbiran sekarang dan cuma menukar PM.

Memetik laporan Utusan hari ini, penganalisis politik dan keselamatan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin juga sependapat bahawa menukar PM tidak sesuai ketika pandemik Covid-19 masih berada pada tahap membimbangkan.

Katanya, tiada seorang pemimpin negara yang pernah berdepan krisis kesihatan berskala besar seperti Covid-19 dan pertukaran kepimpinan hanya mendorong kepada masalah lebih besar dan mengundang kemarahan rakyat.

“Jadi, ketika ini, semua pihak perlu mencapai konsensus bersama berpaksikan matlamat ingin keluar daripada pandemik dan tiada bentuk pertukaran besar dalam negara,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kartini Aboo Talib pula berkata, kelemahan disebabkan seseorang individu tidak seharusnya menggambarkan keseluruhan kerajaan.

“Contohnya, kalau ada kelemahan dalam pengurusan vaksin Covid-19 dan jika ada solusi untuk mempercepat dan lebih tersasar, maka boleh menyelaras semua strategi tanpa perlu menukar Perdana Menteri.

“Begitu juga dalam politik negara, carilah kaedah lain yang boleh menjadikan sesuatu keadaan itu lebih baik tanpa menukar kedudukan sesiapa,” katanya.