AGENDA DAILY
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan tidak berpeluk tubuh membiarkan rakyat menderita dalam keadaan pandemik Covid-19 sekarang.
Mengakui kerajaan pimpinannya kurang sempurna, beliau menegaskan kerajaan sentiasa bertindak untuk menyelamatkan nyawa dan kehidupan rakyat menerusi pelbagai usaha dilakukan.
Membentangkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada sidang khas Dewan Rakyat hari ini Perdana Menteri berkata kerajaan menyedari kebimbangan rakyat apabila angka kes harian jangkitan Covid-19 menunjukkan lonjakan.
Kerajaan sedang berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi kemelut dengan mempercepatkan program vaksinasi dan terbukti Malaysia pada hari ini adalah antara negara yang terpantas dalam memberi vaksin kepada penduduknya, katanya.
“Apa yang penting, kita mesti bersolidariti dalam menghadapi zaman yang sukar ini. Tidak usahlah kita berbalah dan menuding jari kerana di sana, ada rakyat yang jiwanya sengsara, ada bapa yang tenggelam punca, ada anak yang menderita, manakala barisan hadapan kita terus terbeban dan hospital semakin tertekan.
“Marilah kita berganding bahu, mencari berkat dan meraih jaya pada setiap usaha sama. Bulat air kerana pembetung, bulat kita kerana muafakat. Bersatu kita pasti teguh, bercerai kita roboh,” katanya.
Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari impak pandemik kepada aspek kesihatan mental rakyat Malaysia.
Justeru, katanya beberapa langkah khusus sudah diambil bagi menyelesaikan cabaran yang dialami rakyat berkaitan isu kesihatan mental.
“Langkah yang diambil adalah seperti mewujudkan talian sokongan psikososial di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) dan penyaluran dana kepada pertubuhan bukan kerajaan berkaitan kesihatan mental,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan