KUALA LUMPUR – Pembangkang tidak puas hati dengan penerangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berhubung Covid-19 yang didakwa tidak ada tindakan bagi mengekang penularan pandemik.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd. Samad menjelaskan, penerangan selama 55 minit yang diambil oleh Dr. Adham hanya menjelaskan mengenai kes terdahulu, jumlah peruntukan dan penambahan hospital serta peralatan.
“Tapi menteri tidak bentang pun analisa apakah kesilapan dan kegagalan kerajaan dalam menangani pandemik ini.
“Sedangkan, kita tahu keadaan sekarang ini cukup terdesak dan runcing. Apa yang kerajaan buat, tidak ada analisis mengenainya. Bayangkan, daripada kes 200 ke 300 sehari, kini mencecah lebih 17,000 kes sehari, tidak ada penjelasan.
“Apa yang dikemukakan Menteri ialah apa yang sedang dibuat, tambah itu, tambah ini, yang kita nak tahu apa tindakan yang diambil kerajaan untuk menangani peningkatan angka ini,” katanya pada sesi Persidangan Khas Parlimen hari ini.
Menurut Khalid, kegagalan itu menyebabkan pembangkang mendedahkan kesilapan demi kesilapan dalam menangani pandemik Covid-19 yang tidak dilakukan oleh kerajaan.
Tegas beliau, segala komen dalam tulisan dari netizen khususnya pihak J-Kom, tidak habis menyalahkan kerajaan Selangor kerana kes harian tertinggi adalah di negeri itu.
“Sedangkan, kita berada dalam keadaan darurat, yang mana kerajaan Selangor hendak bersidang pun tidak boleh, apatah lagi hendak menangani kecemasan yang hebat ini,” katanya. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan