HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2021

Syor tempoh bertenang 60 hari hadapi kemelut politik

FOTO hiasan. - Foto BERNAMA
FOTO hiasan. - Foto BERNAMA

MELAKA: Tanggungjawab sebagai pemimpin politik dan negara tidak boleh terlepas daripada mengambil berat soal kebajikan serta kesejahteraan rakyat keseluruhan walaupun memperjuangkan ideologi politik berbeza.

Sehubungan itu, tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah, menyarankan UMNO terus kekal bergabung dan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) demi kesejahteraan rakyat, sekali gus dapat membantu negara terus maju.

PROF Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu Shah. - Foto ARKIB NSTP
PROF Emeritus Tan Sri Dr Ibrahim Shah Abu 
Shah. - Foto ARKIB NSTP

Beliau yang juga Pengerusi Yayasan Minda merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM), berkata menerusi sokongan itu juga, negara akan dapat diurus tadbir dengan baik hasil gabungan tenaga serta buah fikiran pemimpin lama dan baharu dalam kerajaan.

"Rententan isu terbaharu dan keadaan politik negara semakin `panas', perbalahan dan pergolakan politik semakin ketara akhir-akhir ini, ditambah peningkatan kes COVID-19 serta kemerosotan ekonomi, Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan `tempoh bertenang' dalam kalangan Ahli Parlimen.

"Meskipun kita tidak boleh meletakkan kesalahan ini pada bahu Tan Sri Muhyiddin Yassin semata-mata, jika berlaku sesuatu di luar dugaan seperti terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri, pilihan terbaik ialah memilih Ahli Parlimen UMNO melalui kerajaan PN sebagai pengganti.

"Ini kerana pemerintahan Barisan Nasional (BN) melalui pemimpin UMNO terdahulu sudah terbukti membawa banyak kejayaan kepada negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau juga menyarankan tempoh bertenang 60 hari untuk membolehkan Ahli Parlimen menenangkan fikiran serta bermuhasabah berikutan keadaan semakin `panas' dan akan kian parah jika ada usul hilang kepercayaan terhadap Muhyiddin yang mungkin mendapat sokongan ahli Dewan.

"Tempoh bertenang dilihat pilihan terbaik buat masa ini kerana jika mereka `gopoh' dengan usaha memilih Perdana Menteri baharu, saya khuatir situasi sama bakal berulang kerana kerajaan pada hari ini masih belum dapat membuktikan sokongan majoriti di Parlimen.

"Walaupun akan ada beberapa pihak tidak selesa dengan keputusan itu, usaha ini harus dilakukan demi kestabilan negara pada hari ini. Semua Ahli Parlimen disarankan pulang ke kawasan masing-masing membantu rakyat pada waktu yang sukar ini," katanya.

Katanya, sebelum melantik Perdana Menteri baharu dalam tempoh bertenang, Seri Paduka boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecemasan Negara dianggotai individu berkecuali seperti bekas ketua hakim, bekas Ketua Polis Negara, bekas panglima tentera, Ketua Setiausaha Negara serta penjawat awam kanan, pakar kesihatan, ekonomi dan keselamatan.

"Jawatankuasa ini mampu menyusun strategi dan dasar kerajaan, memulihkan kembali ekonomi negara serta menyelesaikan masalah politik yang berlaku pada hari ini termasuk peningkatan kes COVID-19.

"Jawatankuasa ini hanya bertindak dalam tempoh 60 hari sebelum pelantikan Perdana Menteri baharu oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya menambah, dalam tempoh bertenang, baginda berhak meneliti semula keupayaan kerajaan semasa dan berhak memutuskan apa yang dirasakan perlu.

Katanya, selepas tempoh bertenang 60 hari, semua Ahli Parlimen akan dititah untuk mengadap Seri Paduka bagi tujuan pelantikan Perdana Menteri baharu, seterusnya menyusun barisan anggota Kabinet seperti amalan biasa yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini.

"Kita amat bersyukur jika pelantikan Perdana Menteri baharu itu terdiri daripada Ahli Parlimen yang mampu memperoleh lebih 112 sokongan, bahkan sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat. Jumlah sokongan ini amat penting bagi memastikan kelangsungan dan kestabilan kerajaan.

"Namun, jika sekiranya masalah pergolakan politik dan perebutan kuasa masih juga berterusan, saya mencadangkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) secara total ditubuhkan oleh Yang di-Pertua Agong," katanya.

Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan mengenai pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menjelaskan, semua tindakan yang dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan ordinan itu dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: