Seorang ahli parlimen PAS mempertahankan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sebelum ini dikecam kerana disifatkan mengabaikan kebajikan doktor kontrak junior.
Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, hanya pentadbiran PN yang mempunyai rancangan komprehensif untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh doktor kontrak yang berlaku sejak zaman BN.
"Isu ini telah bermula sejak 2016 lagi di zaman BN. Berlarutan hingga 2018 zaman Pakatan Harapan (PH), sehingga zaman ni kerajaan PN.
"Perlu diingatkan hanya PN memberi respons kepada tuntutan doktor ini melalui arahan perdana menteri kepada Kementerian Kesihatan, untuk kemukakan pelan komprehensif untuk selesaikan isu ini," katanya pada sesi perbahasan penerangan Kementerian Kesihatan di Parlimen, petang ini.
"Saya secara peribadi menyanjung usaha rakan-rakan doktor kontrak ini, yang berani menyuarakan pandangan untuk bela masa depan kerjaya mereka, (termasuk) mana yang terlibat langsung secara protes, atau yang tetap jaga pesakit mereka," tambahnya.
Menurut Abdul Latiff, PAS sebagai parti komponen kerajaan PN telah mengemukakan cadangan mengenai perkara berkaitan doktor kontrak kepada perdana menteri pada 28 Jun lalu.
Jelas Abdul Latiff, Muhyiddin telah menerima baik cadangan PAS itu dan telah dimasukkan dalam arahan kajian oleh KKM.
Tambahnya, bagi mengatasi masalah doktor kontrak untuk jangka panjang, ia memerlukan perancangan yang rapi kerana akan memberi impak yang besar kepada negara.
“Tentunya ia tidak boleh dilakukan atas dasar sentimen atau emosi. Ia perlu juga dilakukan secara menyeluruh kerana beban penggajian akan meningkat melebihi RM2 bilion setahun dengan jangkaan pertambahan RM250 juta setiap tahun.
“Kos ini melibatkan pengambilan semua graduan perubatan yang seramai 5,000 orang, yang dihasilkan negara setiap tahun,” katanya.
Justeru, katanya, pengumuman rasmi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada 23 Julai lalu adalah komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi yang menyeluruh dalam perkhidmatan kesihatan negara.
Komitmen itu katanya lagi, tidak pernah dilakukan oleh kerajaan BN dan kerajaan PH sebelum ini.
Sementara itu Mohamad Alamin (BN-Kimanis) turut meminta kerajaan menyelesaikan isu doktor kontrak secepat mungkin.
“Saya faham kesengsaraan seorang doktor, isteri saya juga seorang doktor, saya harap kerajaan serap mereka secepat mungkin bagi membolehkan mereka dapat melanjutkan pelajaran dan menjadi pakar, bila mereka menjadi pakar untung kepada kerajaan juga apabila mereka dapat kembali berbakti krpada negara,” katanya.
Pada 23 Julai lalu Jemaah Menteri bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.
Dalam satu kenyataan Muhyiddin berkata, langkah penyelesaian segera itu adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.
Semalam, sekumpulan doktor kontrak di beberapa hospital utama mengadakan protes sebagai sebahagian daripada Gerakan Hartal Doktor Kontrak.
Protes itu antara lainnya dibuat bagi menuntut laluan kerjaya yang adil dan faedah yang sama seperti doktor berjawatan tetap.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan