Bekas orang kanan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rafizi Ramli yang pernah mendedahkan berhubung kewujudan kartel baharu baju hitam dalam PKR terbukti benar apabila muncul kembali dalam himpunan haram di ibu kota Kuala Lumpur hari ini.
Awal hari ini, sekumpulan peserta himpunan haram berbaju hitam berarak dengan mengabaikan bahaya ancaman Covid-19 ke Dataran Merdeka.
Rafizi sebelum ini terlibat dalam pergaduhan secara terbuka dengan Setiausaha Politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam media sosial yang mencuri perhatian ramai.
“Saya secara terang-terangan menasihati Anwar agar tidak membiarkan benih kartel tumbuh lagi melalui geng baju hitam,” ciap Rafizi di Twitternya pada 17 Jun.
Pada Disember 2019, kumpulan berbaju hitam dikaitkan dalam pergaduhan dengan kumpulan baju biru semasa Kongres Pemuda PKR (AMK) di Melaka sehingga menimbulkan kekecohan yang besar.
Insiden hitam pergaduhan yang dicetuskan kumpulan berbaju hitam itu pastinya menjadi ingatan orang ramai.
Hari ini kumpulan baju hitam muncul lagi dengan mengadakan himpunan haram di ibu kota, mereka seakan kebal daripada virus Covid-19 kerana berjuang demi tokoh pemimpin disayangi mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beberapa kelibat orang kuat Anwar dilihat bersama menyertai himpunan tersebut, antaranya Naib Presiden PKR Tian Chua dan Setiausaha Parlimen Anwar, Abd Malek Hussin yang berkongsi gambar masing-masing dalam akaun Facebook bersolidariti bersama kumpulan baju hitam hari ini.
Himpunan pada Sabtu disertai sekumpulan individu dengan membawa sepanduk mengkritik dan mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN), mereka juga membawa sepanduk yang senada dengan ucapan Ketua Pembangkang di Parlimen baru-baru ini.
Pelbagai perkataan yang dilaungkan seperti ‘Hidup Rakyat’, ‘Bangkit Anak Muda dan ‘Kerajaan Gagal’, dengan kebanyakannya mengecam kerajaan.
Mereka mula berkumpul sejak 10 pagi tadi di hadapan stesen LRT Masjid Jamek, dengan berpakaian serba hitam.
Sebaik sahaja pukul 11 pagi, mereka mula berarak ke arah Dataran Merdeka.
Tiada sebarang tangkapan setakat ini oleh pihak berkuasa terhadap peserta himpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan