HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2021

ARMADA BERSATU sokong kepemimpinan Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU menyatakan sokongan penuh terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sayap Pemuda itu turut menyatakan komitmen menyokong keputusan yang ditetapkan oleh Kabinet termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

Ketua ARMADA Nasional, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yakin sokongan lebih 110 Ahli Parlimen kepada kerajaan akan menjamin kestabilan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, sokongan itu juga penting dalam usaha kerajaan menyelesaikan masalah ekonomi negara dan menjayakan Program Imunisasi COVID Kebangsaan (PICK) serta pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

"ARMADA BERSATU akan terus berdiri teguh bersama Perdana Menteri dan menyatakan komitmen menyokong keputusan yang ditetapkan oleh Kabinet, termasuk pendirian kerajaan untuk membatalkan Ordinan Darurat.

"ARMADA BERSATU ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen daripada Parti Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), PBS dan empat Ahli Parlimen Bebas yang menzahirkan sokongan berterusan kepada Perdana Menteri.

"Kami menyeru agar semua pihak kekal fokus dan bersatu demi manfaat rakyat Malaysia secara amnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pendirian ARMADA BERSATU itu susulan kenyataan Istana Negara semalam, yang menzahirkan rasa amat dukacita Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan pengumuman kerajaan berhubung pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Kenyataan dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana perkara yang dipersetujui terdahulu dengan Takiyuddin dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan semalam, menjelaskan semua tindakan dilaksanakan kerajaan membabitkan pembatalan Ordinan Darurat dan pelaksanaan sidang khas Dewan Rakyat, adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, kerajaan sudah menyembah maklum nasihat Jemaah Menteri sebanyak dua kali kepada Yang di-Pertuan Agong supaya semua Ordinan Darurat dibatalkan, dan memohon limpah perkenan Seri Paduka Baginda mengenainya.

Jelasnya, Pejabat Perdana Menteri maklum seperti yang dizahirkan dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Wan Ahmad Fayhsal berkata, ARMADA BERSATU menjunjung kasih ke atas titah pandangan dan keprihatinan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong semalam.

"Kami sentiasa mengambil pendirian yang tegas dalam mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan dan sentiasa mendokong keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang," katanya.

Tiada ulasan: