HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2021

AMK Pahang buat laporan polis pembatalan Ordinan Darurat

Oleh DIANA SURYA ABD WAHAB
AHMAD Saifullah Razali (dua dari kanan) menunjukkan laporan yang dibuat di IPD Kuantan, Pahang.

KUANTAN: Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pahang membuat laporan polis berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat pemimpin Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Laporan tersebut dibuat bagi memohon siasatan dijalankan ke atas mereka yang didakwa terbabit iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun.

Setiausaha AMK, Ahmad Saifullah Razali berkata, mereka boleh didakwa menyalahgunakan kuasa dan undang-undang negara.

Menurutnya, laporan polis dibuat susulan kenyataan media dalam laman sosial Facebook Istana Negara menyatakan Yang di-Pertuan Agong menzahirkan dukacita dengan kenyataan Takiyuddin di Parlimen 26 Julai lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat dimashurkan baginda.

“Baginda turut dukacita dengan pembatalan Ordinan Darurat yang telah dipersetujui untuk dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan.

“Baginda berpendapat bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuatkuasa pada 21 Julai lalu, dibuat tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen juga merupakan sesuatu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang di negara ini.

“Berdasarkan kenyataan tersebut, saya mengesyaki mereka yang terlibat telah melakukan sesuatu aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen dan tidak menghormati institusi diraja serta melanggari Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sini semalam. 

Laporan polis itu dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan bersama wakil Skuad Keadilan Pahang, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin Pahang dan individu perseorangan. 

Sementara itu, Ahmad Saifullah berkata, tindakan ketiga-tiga pemimpin terbabit telah membelakangkan Yang di-Pertuan Agong sekali gus merupakan satu perbuatan pecah amanah.

“Perkara seperti ini juga merupakan satu jenayah yang bercanggah dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: