HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2021

Parti politik Melayu Islam sendiri derhaka kepada Agong – DAPSY

Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
HOWARD LEE

KUALA LUMPUR: Parti-parti politik yang bersandarkan nama Melayu dan agama Islam serta mendakwa mendapat restu daripada Yang di-Pertuan Agong hakikatnya telah mengkhianati institusi diraja dan rakyat sendiri, kata Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).

Ketua Pemudanya, Howard Lee Chuan How berkata, ini berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dilaporkan tidak mendapat perkenan dari Seri Paduka. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinjir itu berkata, pembatalan Ordinan Darurat seperti yang dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 26 Julai dibaca degan kenyataan media pada 14 Julai lalu bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh Jemaah Menteri. 

Howard Lee menyimpulkan, penderhakaan kerajaan dibuat secara bersama oleh sembilan ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lapan ahli Parlimen UMNO, tiga ahli Parlimen Pas yang merupakan tiga parti terbesar Melayu serta disokong parti komponen PN.  

“Sikap biadab kerajaan PN semakin terserlah. Setelah YDPA bertitah, tiada seorang pun pemimpin besar PN, sama ada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin atau Takiyuddin atau Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang meminta maaf memohon ampun kepada Seri Paduka. 

“Ini setelah mereka menyebabkan rasa amat dukacita dengan perbuatan mereka berhubung isu darurat.

“Lebih memburukkan keadaan ialah apabila kenyataan media pada petang hari ini dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri yang ‘menjawab’ titah Seri Paduka. Malah, nada kenyataan itu seolah-olah mahu menyalahkan pula Istana Negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuatkan di Parlimen bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan sedangkan ia belum mendapat perkenan dari Seri Paduka. 

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan mempertahan tindakan membatalkan ordinan darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: