HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Julai 2021

PRU15: Media sosial pengaruhi minda rakyat

Oleh IBNU JANIE
 

AYER KEROH: Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Ustaz Kamarudin Sidek berkata, suasana aktiviti penerangan pada masa sekarang sangat berbeza dengan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih-lebih lagi dengan wujudnya pandemik Covid-19.

“Zaman kita berada selepas tahun 2020 ini boleh kita katakan siri-siri penerangan yang berbentuk program-program ceramah ini hampir-hampir tertutup.

“Boleh dikatakan sudah tiada lagi majlis ceramah seperti dahulu yang boleh kita sampaikan di kampung-kampung, di pekan-pekan di bandar-bandar, seolah-olah majlis-majlis umpama itu semakin hari semakin tertutup pintunya.

“Hari ini, ‘peperangan’ politik atau pilihan raya itu, ia terpaksa menghadapi satu revolusi di mana kita kena pergi ke gelanggang rakyat,” ujar beliau semasa melancarkan kempen ‘Kita Ejen Penerangan’ peringkat negeri ini di sini, pada petang semalam.

Pelancaran itu dibuat sejurus selepas beliau merasmikan penutupan program ‘Konvensyen Penerangan PAS Melaka’ yang berlangsung secara dalam talian dari jam 2.00 hingga 6.00 petang melibatkan aktivis-aktivis parti dari semua peringkat negeri ini.

Menurutnya, dahulu gelanggang untuk rakyat mendapatkan maklumat tentang PAS adalah ceramah, namun kini ia sudah tidak lagi menjadi gelanggang utama mereka.

“Hari ini gelanggang mereka adalah di media sosial. Mereka akan bertumpu di media sosial. Sebagaimana yang dibentangkan oleh Ketua Penerangan PAS Melaka, Haji Bakri penggunaan media sosial ini semakin hari semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara kita.

“Kalau kita tengok dalam statistik yang dikeluarkan pada PRU13 lalu, yang mempengaruhi pola pengundian itu media sosial ini berperanan tidak sampai 20 peratus.

“Tapi pada PRU14 ia semakin membesar. Ia pergi hampir 70 peratus. Sehinggakan ia dapat menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah memerintah sekian lama,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, dijangkakan pada PRU15 nanti penggunaan media sosial yang mempengaruhi minda rakyat dan undi rakyat akan meningkat sehingga 90 peratus.

“Ini yang saya sebut sebagai revolusi yang terpaksa kita hadapi. Dengan sebab itu saya setuju bahawa medium yang disebut sebagai Facebook, Twitter atau Instagram yang menjadi gelanggang pada hari ini perlu berperanan dalam kalangan pemimpin atau ahli-ahli parti,” katanya.

Menurut beliau lagi, setiap pemimpin dan ahli PAS di negeri ini perlu memenuhi ruang di dalam media-media sosial sebagai ejen penerangan untuk mempengaruhi golongan yang sering ‘bermain’ dalam platform medium tersebut, iaitu yang berumur antara 18 dan 52 tahun.

“Paling penting kita dapat mempengaruhi minda rakyat atau minda masyarakat tentang berita-berita kebenaran dan kita dapat menghilangkan kekeliruan,” ujar beliau lagi.

Turut membentangkan kertas kerja di dalam program itu ialah Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, Setiausaha Lajnah Penerangan dan Media Baharu PAS Pusat, Shuhaimi Embong, Pengarah Jabatan Penerangan PAS Pusat, Zul Fadli Ramli dan Ketua Penerangan PAS Melaka, Bakri Jamaludin.

Untuk rekod kempen ‘Kita Ejen Penerangan’ peringkat PAS Pusat telah dilancarkan oleh Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam Konvensyen Penerangan PAS Pusat yang telah berlangsung pada 18 dan 19 Jun lepas juga secara dalam talian. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: