HALAMAN SANTAI

Sabtu, 31 Julai 2021

Ordinan Darurat: Anwar label pemimpin anggap isu teknikal ‘jahil’ perundangan, biadab

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengkritik pihak yang mendakwa isu itu 
sekadar teknikal dan sengaja dibesarkan. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan pemimpin dari parti kerajaan yang menganggap krisis berhubung pembatalan Ordinan Darurat oleh kerajaan tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong sekadar isu teknikal dan tidak perlu diperbesar, sebagai biadab dan jahil undang-undang.

Tanpa menamakan sesiapa, Anwar berkata, menganggap isu yang berlaku antara kerajaan dan Istana berhubung pembatalan Ordinan Darurat sebagai sekadar masalah teknikal jelas menunjukan mereka tidak menghormati Agong sebagai ketua negara.

“Beberapa pemimpin sebut ini soal teknikal, sengaja dibesarkan di Parlimen (oleh pembangkang), bukankah ini biadab?

“…Kalau ini umpama ketua kampung bagi pandangan kita boleh ulas, ini ketua utama negara beri saranan dan ulasan dan (ada pemimpin) kata ini masalah teknikal. Sama ada ia jahil tentang perundangan dan tidak hormati institusi Agong atau memang biadab sama sekali,” katanya menerusi siaran langsung di Facebooknya.

Katanya, kenyataan Agong jelas mengatakan pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu belum diperkenan dan apa yang dilakukan kerajaan itu membelakangi Istana serta Perlembagaan.

Anwar turut mengulangi pendirian pembangkang supaya Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan seluruh Kabinetnya meletak jawatan kerana membelakangi Agong dalam membuat keputusan.

Semalam Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong belum memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu, menyebabkan Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dukacita.

Tiada ulasan: