HALAMAN SANTAI

Jumaat, 30 Julai 2021

BN nafi keluar kenyataan 40 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin

Kenyataan itu menimbulkan tanda tanya kerana sebilangan Ahli Parlimen Umno 
membuat pendirian terbuka menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri 
Muhyiddin Yassin, selaras dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti. 
 (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kenyataan yang memetik Timbalan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sebagai mendakwa 40 Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, dengan menggunakan logo serta alamat BN, adalah palsu.

“Ibu Pejabat BN menafikan mengenai kewujudan surat yang menggunakan logo dan alamat pejabat parti seperti yang telah tersiar dan ‘viral’ ketika ini,” kata Setiausaha Eksekutif BN, Mohamad Sahfri Ab Aziz.

“Sebarang kenyataan rasmi parti hanya dikeluarkan melalui pengerusi (Ahmad Zahid Hamidi) ataupun setiausaha agung parti (Zambry Abdul Kadir) dan hanya dikeluarkan melalui saluran rasmi komunikasi parti,” katanya.

Terdahulu, sebuah kenyataan memetik Ismail berkata, 40 Ahli Parlimen BN kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menurut kenyataan itu, Ismail yang juga naib presiden Umno, berkata, Ahli Parlimen BN turut bersetuju menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan akur nasihat supaya semua pihak mengutamakan isu kesejahteraan rakyat.

Pembantu Ismail mengesahkan kesahihan kenyataan itu kepada FMT. Ia dikeluarkan susulan isu kerajaan pimpinan Muhyiddin dilapor membatalkan ordinan darurat tanpa mendapatkan perkenan Agong.

Bagaimanapun kenyataan itu menimbulkan tanda tanya kerana sebilangan Ahli Parlimen Umno membuat pendirian terbuka menarik balik sokongan kepada Muhyiddin, selaras dengan pendirian Majlis Kerja Tertinggi parti itu.

Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenan pembatalan Ordinan-ordinan Darurat yang diumumkan Menteri Undang-undang Takiyuddin Hassan di Parlimen pada Isnin lalu

Bagaimanapun, Pejabat Perdana Menteri menegaskan pembatalan ordinan terbabit dibuat mengikut landasan undang-undang.

Tiada ulasan: