HALAMAN SANTAI

Khamis, 29 Julai 2021

Ini jelas perderhakaan kepada Agong, kata Pemuda Umno

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Pemuda Umno Malaysia hari ini berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) jelas melakukan penderhakaan ke atas Yang di-Pertuan Agong kerana gagal menguruskan pembatalan darurat dan ordinan berkaitannya.

Ketua pergerakan itu Asyraf Wajdi Dusuki berkata cara PN mengendalikan hal berkenaan jelas membelakangkan Agong selaku ketua negara.

Menurutnya pembatalan ordinan-ordinan darurat seperti diumumkan Menteri Undang-Undang, Takiyuddin Hassan, di Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu amat mengelirukan kerana belum mendapat perkenan Agong.

"Bagi Pemuda Umno, tindakan kerajaan ini jelas merupakan penderhakaan kerana membelakangkan titah Agong selaku Ketua Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ia dibuat sejurus selepas Istana Negara mengeluarkan kenyataan menzahirkan rasa amat dukacita Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berhubung cara kerajaan membatalkan ordinan darurat.

Istana Negara juga berpendapat menteri terbabit mengelirukan ahli-ahli Dewan Rakyat.

Menurut kenyataan itu lagi, Agong turut berasa amat dukacita apabila ordinan berkenaan tidak dibentang dan dibahaskan seperti dititahkan baginda kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun pada 24 Julai lalu tidak dilaksanakan.

Berdoa Agong, Raja-raja bertindak

Kata Asyraf Wajdi Perdana Menteri Muhyiddin Yassin wajar melepaskan segera jawatannya kerana jelas melanggar sumpah jawatan untuk sentiasa taat kepada Agong dan mempertahankan perlembagaan.

"Pemuda Umno juga mendesak supaya ahli-ahli parlimen Umno menzahirkan keputusan majlis tertinggi pada 7 Julai lalu untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin," katanya.

Sementara itu Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Ibrahim Ali apa yang dilakukan PN sekarang adalah peristiwa hitam yang tidak pernah terjadi dalam sejarah negara.

Kata Ibrahim kerajaan PN sudah memperlecehkan Agong selaku ketua negara dan ingkar terhadap keluhuran undang-undang.

Turut mendesak Muhyiddin dan seluruh anggota kabinet meletak jawatan bekas ahli parlimen Pasir Mas itu juga berharap Idrus menentukan sikap dan peranannya atau berundur secara terhormat.

"Putra berdoa dan berharap Agong bersama Majlis Raja-raja Melayu akan bertindak sewajarnya untuk mengambalikan institusi dan pemerintahan negara yang beradab, efisen, bersih dan berintegriti," katanya.

Tiada ulasan: