MALAYSIA KINI
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (Harapan-Port Dickson) membangkitkan kenyataan Istana negara dalam Dewan Rakyat hari ini, sejurus selepas ia dikeluarkan.
Katanya, kenyataan itu menunjukkan kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin mengabaikan prinsip perlembagaan dan tidak menghormati institusi diraja.
Katanya, istana dengan jelas menyebut menteri undang-undang mengelirukan dewan.
Dia kemudian membacakan kenyataan yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin itu.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dukacita dengan pengumuman pembatalan Ordinan Darurat di parlimen.
Perkara itu dimaklumkan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin pada kenyataan hari ini.
Menurut istana, Agong amat dukacita dengan kenyataan pada 26 Julai bahawa kerajaan membatalkan semua Ordinan Darurat, walhal belum diperkenankan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dalam sidang medianya di Parlimen berkata kini semua ordinan darurat perlu diputuskan dalam Dewan Rakyat.
"Jelaslah, titah Tuanku Agong kepada menteri undang-undang dan peguam negara supaya ordinan darurat, dibentang dan dibahas untuk dibuat keputusan sama ada dirungkaikan atau ditamatkan," tegasnya.
Ekoran itu dia mendesak Speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menerima semula lima usul pembangkang, yang antaranya usul berkaitan proklamasi darurat untuk dibahas dan diluluskan di parlimen.
"Speaker patut bawa usul saya dan membatalkan keputusan beliau yang menolak keempat usul saya berkenaan dengan pengisytiharaan darurat dan tiga lagi ordinan darurat ini.
“Kerana, Agong hari ini telah bertitah bahawa ordinan darurat yang diumumkan dibatalkan oleh menteri udang-undang adalah tidak benar dan masih berkuat kuasa.
"Dan memandangkan usul-usul saya ini berkenaan dengan ordian darurat, maka, haruslah ia dipercepatkan supaya ia dapat diputuskan oleh Dewan Rakyat,” katanya.
Ngeh berkata dia telah sekali lagi bertemu dengan speaker pagi tadi berhubung rayuannya itu, namun Azhar hanya berkata akan membuat keputusan kemudian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan