HALAMAN SANTAI

Isnin, 26 Julai 2021

Menteri, timbalan menteri UMNO letak jawatan jika darurat diteruskan

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI

AHMAD ZAHID HAMIDI

PETALING JAYA: Menteri dan timbalan menteri daripada UMNO akan meletak jawatan sekiranya Proklamasi Darurat diteruskan selepas 1 Ogos ini.

Pesiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketetapan tersebut dibuat sempena Sidang Khas Parlimen mulai esok sehingga 2 Ogos ini.

Katanya, tindakan tersebut juga dibuat sebagai mendukung dan mentaati titah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu bahawa tiada keperluan untuk darurat diteruskan serta segala Ordinan-Ordinan Darurat dibahaskan di Parlimen seiring dengan Peruntukan 150(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Pelaksanaan Darurat yang ternyata gagal untuk mengekang dan menangani Pandemik Covid-19, sebaliknya sebagai muslihat politik dan alat memandulkan sistem demokrasi berparlimen.

“Memenuhi dan mentaati Perlembagaan Persekutuan berasaskan Perkara 150(3) yang mengkehendaki Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya bukan sekadar dibahas tetapi ditentukan keabsahannya sama ada diluluskan atau dibatalkan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Dalam pada it,  Ahmad Zahid berkata, ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan pendirian parti untuk mengusulkan agar Parlimen membahas dan membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya.

“Ahli-ahli Parlimen UMNO mesti menzahirkan sokongan melalui undi untuk membatalkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-Ordinannya,” katanya. UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: