Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengecam kerajaan yang menurutnya tidak mengikut prosedur dalam pembatalan semua peraturan ordinan darurat.
Anwar berkata, peraturan ordinan tersebut diisytiharkan melalui Yang di-Pertuan Agong dan pembatalannya juga perlu dibuat melalui cara yang sama, atau melalui Parlimen.
"Saya tidak pasti hal yang diumumkan menteri (Takiyuddin) telah dipersembahkan atau diperkenankan. Tak disebut.
"Kalau ini belum berlaku, pengumuman (pembatalan) ini tidak boleh dibuat dengan satu bentuk penghinaan kepada institusi Raja-raja Melayu, khususnya Agong," kata Anwar.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengumumkan semua ordinan darurat yang diisytiharkan pada tahun ini dibatalkan pada 21 Julai lalu.
Pengumuman itu mengejutkan para ahli parlimen kerana tiada pengumuman awal berkenaannya serta ia membawa implikasi undang-undang.
Anwar berkata, bentuk perundangan seperti itu adalah tidak wajar dan tidak memenuhi keperluan yang dinyatakan dalam Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan.
"Tak boleh kata umpamanya 'hari ini kita isytiharkan darurat'. Pada sesi (kemudian) kata 'kita dah batalkan minggu lalu'.
"Ini pasar malamkah?" soalnya.
Katanya lagi, kerajaan perlu menghormati Artikel 150(3) Perlembagaan Persekutuan dan membenarkan peraturan ordinan tersebut dibahaskan di Parlimen.
"Kalau ini pun tidak dihormati, bolehkah kita bayangkan hal-hal lain yang kita bincang akan dihormati?" soalnya lagi.
Anwar kemudian menuduh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menggunakan kaedah "pintu belakang" utnuk membenarkan industri beroperasi, sehingga memburukkan lagi penularan wabak Covid-19.
Ia mencetuskan bantahan daripada menterinya, Azmin Ali (PN-Gombak) yang cuba mencelah ucapan Anwar.
Azmin: Tuan Yang Dipertua. Saya minta penjelasan daripada Port Dickson.
Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya): Bagaimana menteri boleh minta penjelasan? Apa ini? Tunggu giliran (perbahasan).
Azmin: Jika ketua pembangkang nak bercakap, gunakan fakta. Ini data yang betul (ambil carta pai).
Shamsul: Pintu belakang!
Azmin: Saya ada data. Sektor pembuatan bukan penyumbang utama kes Covid-19. Hanya lapan peratus (tunjukkan carta pai).
Anwar: Menteri akan ada giliran untuk bahas (kemudian).
Azmin: Bercakap dengan fakta. Jangan guna emosi. Kita tahu siapa Port Dickson. Bohong!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan