HALAMAN SANTAI

Rabu, 28 Julai 2021

Kalau ikut saranan UMNO, keadaan Covid-19 tak seteruk ini – Zahid

MGF23112020_OWHMG-ZAHID08
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Pengakuan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di persidangan khas Parlimen semalam  bahawa lebih 50 peratus kluster tempat kerja melibatkan subkategori pengilangan telah mendedahkan siapa yang bertanggungjawab selama ini.

Bagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, menteri berkaitan masih tidak mahu mengaku kesilapan dengan mengheret sama pihak lain, kononnya tindakan membenarkan kilang beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan keputusannya seorang.

“Beliau kata keputusan benarkan kilang-kilang beroperasi semasa total lockdown bukan keputusan beliau seorang. Ia dibuat secara kolektif dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Bukankah mesyuarat MKN dipengerusikan oleh Perdana Menteri? Perdana Menteri pun kena ‘petik’ gamaknya. Begitulah keadaannya. Mereka boleh tuding sana sini tetapi 60,000 yang dijangkiti itu sudahpun dijangkiti,” katanya menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

Semalam, Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelan Pemulihan Negara dalam sesi penerangan mengaku lebih 50 peratus kluster tempat kerja melibatkan subkategori pengilangan yang direkodkan sejak PKP ‘suam-suam kuku’ atau separuh masak berkuatkuasa pada 1 Jun lalu.

Atau lebih tepat, katanya, sebanyak 373 daripada 753 kluster tempat kerja yang direkodkan di Malaysia sehingga 23 Julai lalu, sekali gus mencatat kluster jangkitan Covid-19 tertinggi dalam tempoh itu iaitu hampir 60,000 kes.

“Dengan pengakuan Menteri Kewangan itu, maka menteri bertanggungjawab yang beri ‘lesen’ kepada kilang beroperasi sepanjang PKP jadi panas telinga. Mana boleh tahan beliau seorang saja kena di Parlimen agaknya, lalu kaitkan sama kawan-kawan lain.

“Jika mereka ikut saranan kita ketika itu supaya dilaksanakan PKP yang benar-benar total, mungkin keadaan tidak seteruk ini. Bukan untuk selama-lamanya pun. Hanya sehingga kita berjaya mengasingkan dan merawat mereka yang dijangkiti dan menurunkan kadar jangkitan.

“Namun, inilah antara sebab mengapa kita desak supaya Parlimen bersidang, supaya kita tahu fakta sebenar,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: